Pelakon dan pelawak, Enot atau nama sebenarnya, Aliza Abdullah, 37, menghasilkan ‘Gajjah’ untuk wanita berbadan gempal.

‘Gajjah’yang dimaksudkan bukannya haiwan, tetapi ianya merupakan jenama fesyen yang diusahakan oleh Enot untuk wanita yang mempunyai bentuh tubuh plus size seperti dirinya.

“Koleksi ‘Gajjah by Enot’ akan menampilkan pakaian yang berkonsepkan muslimah dan funky. Idea untuk menghasilkan koleksi pakaian ini datangnya daripada sahabat baik saya, Didie Alias," kata Enot.

Jika sebelum ini Enot terkenal dengan bakat memasak yang dimiliki olehnya, Didie mencadangkan Enot untuk mengeluarkan sesuatu yang berbeza untuk peminat di luar sana.

“Menurut Didie, saya sudah biasa memasak dan menjual hasil masakan saya, jadi apa kata jika saya keluar pula dengan label pakaian untuk wanita bertubuh gempal. Salah satu sebab juga adalah kerana banyak antara peminat saya yang datang dari golongan wanita plus size,” kata Enot.

Bakal dipasarkan pada penghujung tahun ini, koleksi pakaian ‘Gajjah by Enot’ dijual atas talian terlebih dahulu.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, koleksi pakaian saya bakal mula menemui orang ramai pada penghujung Disember ini. Buat masa ini, penjualan dilakukan secara online, menerusi laman Instagram @gajjahbyenot,” katanya mengakhiri perbualan.

Olahan semula: Kamaruddin Razal

Sumber: HLive!