Pelakon Faralyna Idris akui Syawal baginya dan keluarga sudah tidak bermakna selepas ibunya Jalaliah Ismail meninggal dunia semenjak 12 tahun yang lalu.

Fara berkata, sambutan Hari Raya selepas pemergian ibunya sangat berbeza kerana tiada persiapan seperti baju raya dan sebagainya.

“Sejak ibu saya meninggal dunia semuanya berubah termasuklah bila menjelangnya Syawal.

“Sudah lebih 10 tahun kami tidak menyambut raya seperti orang lain kerana masih terasa kehilangannya.

“Malah, baju raya pun kadang-kadang tiada dan tidak tempah kerana semangat untuk beraya itu tidak sama seperti bersama ibu.

“Setiap kali Syawal rasa sayu dan sebak itu datang amat kuat,” katanya kepada Gempak.

Namun, Fara berkata ia berubah selepas dia mula berkeluarga dan mempunyai anak.

Menurut Fara, demi anak-anaknya, Fira Anggun, 4, dan Fira Ayu, 1, dia cuba meraikannya dengan penuh rasa gembira.

“Saya mula membuat persiapan raya ketika Anggun usia setahun tapi itu pun saya cuba memaksa perasaan itu untuk menggembirakan hati, demi anak.

“Malah raya kali ini juga dilihat akan lebih meriah kerana kami bakal menyambut bersama anak kedua kami bersama.

“Mereka tidak faham apa-apa dan masih kecil tetapi mahu rasa keseronokkan seperti orang lain juga,” katanya lagi.

Faralyna mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Fikri Abdullah pada Disember 2014.