Penyanyi Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail mengajak orang ramai terutamanya golongan muda untuk makan tempe.

Tomok mengajak anak muda menikmati tempe menerusi lagu Itik Gembo Gembo, nyanyian asal kumpulan A to Z yang telah diparodikan liriknya.

"Sempena rancangan #JuaraParodi yang sedang bersiaran, saya terlibat dalam satu projek yang bernama #AkustikKelakar.

"Menerusi projek tersebut, saya memparodikan lagu Itik Gembo Gembo. Liriknya telah diubah dan lagu yang saya nyanyikan itu bercerita mengenai tempe," kata Tomok.

#AkustikKelakar yang boleh ditonton menerusi laman web #JuaraParodi memuatkan lima buah video lagu parodi yang bertemakan makanan. Selain tempe, antara makanan yang menjadi tema lagu-lagu ini ialah nasi lemak, cendol, petai dan cekodok.

Video: Tomok – Tempe (Lagu asal: Itik Gembo Gembo – A to Z)

Video: Mark Adam – Cendol (Lagu asal: Gemilang – Jaclyn Victor)

Video: Sam Bunkface – Petai (Lagu asal: Wassini – Waheeda)

Video: Aisyah Aziz feat Ily – Cekodok (Lagu asal: Ilusi – Adira)

Video: Azhael feat Iffa – Nasi Lemak (Lagu asal: Malaikat – Hazama)

“Pengalaman saya merakamkan lagu parodi adalah sangat menyeronokkan. Sebelum ini, saya sering menyanyikan lagu-lagu yang lebih serius, projek #AkustikKelakar ini menampilkan sisi berbeza saya sebagai seorang penyanyi,” kata Tomok yang juga merupakan peserta rancangan #JuaraParodi.

Berpasangan dengan pelawak Rahim R2 dan membentuk kumpulan Cuba Teka, mereka bersaing dengan sembilan kumpulan lain dalam merebut hadiah utama bernilai RM300,000.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap. #JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal