Dengan sekali lafaz, penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh, 30, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Datuk Seri Hj. Mohamed Ismail, 29 pada pukul 8.55 malam Khamis.

Pasangan pengantin dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Timur Laut, Ustaz Fauzi Ibrahim, manakala Marsha berwakil walikan hakim.

“Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi kerana semuanya sudah selamat dan saya berharap semua peminat mendoakan kesejahteraan saya dan perkahwinan ini.

“Terima kasih juga kepada keluarga saya dan keluarga mertua yang banyak membantu dan membimbing saya. Harapan saya, semoga penyatuan dua hati ini sentiasa dirahmati dan diberkati olehNYA,” kata Marsha kepada Astro Gempak.

Mohamed Shaiful Nizam menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1001.00 kepada Marsha tetapi jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pihak lelaki menberi tujuh dulang hantaran dibalas sembilan oleh pihak pengantin perempuan.

Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam disatukan sebagai suami-isteri dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di kediaman pengantin lelaki di Georgetown, Pulau Pinang.

Majlis pernikahan diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua belah pihak dan juga rakan rakan kepada pasangan tersebut.

Busana yang disarungkan oleh Marsha untuk upacara pernikahan adalah hasil rekaan pereka fesyen Rizalman Ibrahim.

Sementara itu, majlis resepsi pasangan ini bakal diadakan di Kuala Lumpur pada minggu hadapan dalan suasana tertutup.

Marsha dan Mohamed Saiful Nizam atau Sepol, berkenalan sejak tahun 10 tahun lalu sebelum mula menyulam cinta pada tahun 2013 dan telah merancang untuk mendirikan rumahtangga pada setahun yang lalu.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin