Suami penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh, Mohamed Shaiful Nizam berjanji untuk sentiasa memberikan yang terbaik dan membimbing isterinya itu ke jalan yang benar.

Menurut Saiful, dia perlu menjadikan kehidupan Marsha lebih bermakna kerana itu yang berhak dimiliki oleh isterinya itu.

"Takdir telah menemukan dan menyatukan kami. Sesungguhnya, saya begitu bangga dan bersyukur untuk memilikinya sebagai belahan jiwa saya. Saya memilihnya kerana kesungguhan dan kekuatan yang dimiliki oleh wanita cekal ini untuk terus setia dengan hubungan ini.

"Bukan hanya saya jatuh cinta dengan perwatakannya yang comel di mata saya itu, tetapi kejujuran dan kecekalannya yang dimilikinya sebagai seorang wanita benar-benar memikat hati saya dan sedar bahawa dia adalah untuk diri saya. Namun, kemuncak cinta saya terhadap Marsha adalah perasaan hormat yang sentiasa ada dalam dirinya terhadap saya.

"Apa yang paling utama, dia begitu serius mendengar dan mengambil setiap perkara yang saya katakan kepadanya kerana dia tahu saya sentiasa mahu yang terbaik buat dirinya.

"Seperkara tentang Marsha apabila dia tidak pernah cuba hendak menjadi orang lain tetapi dia hanya menjadi dirinya sendiri setiap waktu dan ketika yang membuatkan cinta dan kasih sayang terhadapnya tidak pernah berkurangan sebaliknya bercambah setiap masa.

Sementara itu Marsha berkata dia bersyukur kerana telah menmui lelaki yang tepat sebagai suami.

“Akhirnya, saya sudah menemui lelaki yang tepat sebagai suami. Dia telah menjadi tulang belakang dan pendokong paling kuat serta sentiasa cuba memahami diri saya dalam mengharungi liku kehidupan terutama ketika hari-hari saya yang diselubungi mendung. Tiada alasan lain mengapa saya memilihnya.

“Perkahwinan ini merupakan tanggungjawab baru yang harus saya pelajari. Saya rasa sungguh bertuah menjadi isteri kepada Shaiful dan sangat teruja untuk menjadi isteri yang terbaik Insyallah.

“Soal cahaya mata, kalau diberikan rezeki kami memang inginkan cahaya mata, Untuk bulan madu pula setakat ini kami belum menetapkan ke mana destinasi pilihan kami kerana masing-masing ada tanggungjawab yang perlu didahulukan. Namun perancangan ada ke arah itu sememangnya ada,” katanya.

Marsha berkata demikian ketika majlis resepsinya yang berlangsung pada malam Jumaat di Majestic Hotel Kuala Lumpur.

Majlis resepsi Marsha Milan Londoh, 30, dan pasangannya Mohamed Shaiful Nizam Dato’ Seri Haji Mohamed Ismail dihadiri oleh oleh para VIP, keluarga, rakan selebriti dan teman rapat kedua pasangan ini berlangsung dengan cukup meriah dengan hiasan dekorasi indah hasil sentuhan Glam Weddings oleh Rizalman Ibrahim.

Busana yang disarungkan pasangan pengantin juga hasil rekaan pereka fesyen Rizalman Ibrahim.

“Syukur dan perasaan yang sangat gembira semuanya berjalan seperti dirancang. Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ini,” kata Marsha.