Kumpulan Abang Face yang dianggotai oleh Shuk SYJ, Joey dan Sam Bunkface sedar yang mereka tidak mempunyai ramai peminat.

Namun begitu, kumpulan Abang Face berjaya mendahului sembilan kumpulan lain dalam carta keseluruhan #JuaraParodi, seterusnya melayakkan mereka untuk melangkah ke peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung pada 15 Januari ini.

“Kami tak menjangkakan yang kami dapat melangkah ke pusingan separuh akhir #JuaraParodi atau mendahului carta keseluruhan selama 10 minggu ini. Kami sedar diri yang kami tidak ramai peminat dari segi pengundian.

“Tetapi pada setiap minggu, kami duduk berbincang bersama dan niat kami adalah untuk memberikan persembahan yang sehabis baik bagi menghiburkan semua yang hadir di Teater Shah Alam dan juga penonton di rumah,” kata Joey kepada Astro Gempak.

Tambah Shuk pula, mereka bertiga langsung tidak memikirkan kedudukan mereka dalam program #JuaraParodi saban minggu.

“Kami langsung tak fikirkan di mana kami berada, tempat pertama, kedua atau pun terakhir. Apa yang kami tekankan adalah untuk membuat persembahan yang menghiburkan.

“Permainan minggu separuh akhir bakal berubah kerana markah semua kumpulan akan kembali kosong. Jadi kami akan buat sesuatu yang berbeza di minggu hadapan. Insya-Allah, kami berharap agar kami dapat memberikan impak yang orang tidak akan lupakan,” kata Shuk.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal