Penonton kini diberikan kuasa untuk memilih dan menentukan pengakhiran telefilem terbaru terbitan Astro, Oh My Ganu 2.

Oh My Ganu 2 yang merupakan telefilem kelima dalam siri Oh My English dibarisi oleh bintang ternama seperti Zizan Razak (Zizang), Zain Saidin (Mr. Henry Middleton), Tiz Zaqyah (Cikgu Ayu), Izzue Islam (Aiman), Izara Aishah (Azlin), Akhmal Nazri (Jibam), Juzzthin (Zack), Nadiya Nisaa (Jojie) dan ramai lagi.

“Keistimewaan telefilem Oh My Ganu 2 ini berbanding telefilem Oh My English yang lain adalah penonton diberikan hak untuk memilih pengakhiran yang dinginkan oleh mereka sendiri. Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan jalan cerita yang mereka mahukan,” kata Vickie Lai selaku Ketua Bahagian Pendidikan Astro.

Penonton boleh memilih untuk menentukan pengakhiran telefilem versi Henry (#TeamHenry) ataupun pengakhiran telefilem versi Zizang (#TeamZizang) dengan menyertakan hashtag pilihan mereka di akaun Twitter masing-masing ataupun dengan cara mengundi di laman web rasmi Oh My English, www.ohmyenglish.com.my.

“Untuk menghargai sokongan penonton setia siri Oh My English yang tidak berbelah bahagi, penonton diberikan kuasa tersebut, di mana undian penonton akan membantu Cikgu Ayu memilih sama ada Mr. Middleton ataupun Zizang sebagai pasangan hidupnya,” kata Vickie yang ditemui di siding media pelancaran telefilem Oh My Ganu 2.

Undian dibuka sehingga hari tayangan perdana Oh My Ganu 2. Keputusan undian terkini boleh dilihat di laman sesawang Oh My English dan juga Astro TVIQ. Pengakhiran cerita dengan undian tertinggi akan dimainkan di akhir telefilem.

Jangan lupa saksikan Oh My Ganu 2 yang akan bersiaran secara eksklusif pada 16 Januari 2016, jam 9.00 malam di Astro TVIQ (Saluran 610) dan juga dalam definisi tinggi (HD) di Astro Maya HD (Saluran 135). Gunakan hashtag #OhMyGanu2 untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal