Buat julung kalinya, pihak produksi Astro berjaya mendapatkan kebenaran untuk mengadakan wawancara khas bersama ahli keluarga Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak Dato' Hussein.

Menerusi dokumentari istimewa ‘Tun Abdul Razak : 40 Tahun Dalam Kenangan’ itu, pelbagai kisah suka duka Allahyarham, bakal dikongsikan oleh isteri beliau Toh Puan Rahah Tan Sri Mohammad Noah dan kesemua lima orang anaknya, termasuk Perdana Menteri YAB Dato' Sri Mohd. Najib, Datuk Nazim, Datuk Johari, Datuk Nizam dan Datuk Seri Nazir.

Dokumentari ini disediakan khas untuk mengenang jasa Allahyarham Tun Abdul Razak bukan sahaja merakamkan perjuangan beliau tetapi kehidupannya sebagai pemimpin, suami dan ayah kepada lima orang anaknya.

Fokus utama turut tertumpu kepada perwatakan, kebijaksanaan, wawasan serta ketajaman perhitungan politik yang telah menjadikan beliau dihormati oleh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum.

Saksikan program dokumentari istimewa ‘Tun Abdul Razak : 40 Tahun Dalam Kenangan’ yang akan bersiaran 9 malam ini (Khamis), di Astro Prima (saluran 105) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Program khas untuk memperingati pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak Haji Dato' Hussein Al-Haj itu turut disiarkan dalam dokumentari berbahasa Inggeris, ‘A Leader’s Legacy: Tun Abdul Razak’ pada pukul 10 malam ini di National Geographic Channel (saluran 553), National Geographic Channel HD (saluran 573) dan Astro Awani (saluran 501).