Pelakon Ayda Jebat tidak sangka seorang tukang sapu sampah mengajaknya melakukan hubungan seks ketika berada di Amsterdam.

Menurut Ayda kejadian tersebut berlaku ketika Ayda sedang menjalani penggambaran drama Sesal Separuh Nyawa di negara itu.

“Kejadian itu berlaku di sebuah taman tempat kami shooting dan waktu itu ada seorang tukang sapu tengah membersihkan taman tersebut.

“Dia cuba berbual dengan saya dan sampai satu tahap dia mula mengeluarkan kata-kata berbaur seks yang seolah-olah mengajak saya untuk melakukan perkara tersebut.

“Perkataan itu kurang menyenangkan dan membuatkan saya terus angkat kaki dan beredar mendapatkan kru-kru produksi yang berada berdekatan.

“Waktu itu hanya tuhan saja yang tahu betapa terkejutnya saya dengan kejadian tersebut. Selepas itu kru produksi tidak membenarkan saya untuk berjalan berseorangan.

“Walaupun kejadian itu berlaku pada November namun saya masih geram dan marah bila teringat perkara tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Sesal Separuh Nyawa bertempat di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, bercerita mengenai wataknya dalam drama tersebut, Ayda mengakui ia agak mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

“Watak ini memerlukan saya banyak bermain dengan emosi dan tipulah kalau saya katakan tidak penat.

“Sekejap Fara (watak) berubah menjadi seorang yang naif dan tiba-tiba dia mula bertukar menjadi seorang wanita saiko.

“Penat bila kita perlu menukar emosi secara berselang-seli dan mood yang perlu diambil juga agak berbeza.

“Tapi saya agak seronok kerana watak kali ini agak lain dari drama-drama yang pernah saya lakonkan sebelum ini.”jelasnya.

Selain Ayda, drama terbitan Dark Wave Pictures Sdn Bhd itu dibintangi oleh Aiman Haim Ridza, Aidit Noh, Nina Nadira (AF2015) dan Azhan Rani.

Sesal Separuh Nyawa akan mula ditayangkan di saluran HyypTV pada 18 Januari ini.

Teks Oleh: Mya Amri