Pelakon Ola Bola, Luqman Hafidz, 24, menghabiskan masa mengkaji cara dan taktik permainan bola sepak di laman YouTube untuk persediaan filem tersebut.

Menurut bekas pelajar jurusan Juruukur Bahan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini, apa yang dipamerkan dalam filem Ola Bola adalah kemampuan dimilikinya.

“Saya mengkaji taktik permainan bola sepak menerusi YouTube terutama video-video lama yang melibatkan pemain veteran terkenal negara.

“Watak Ali yang dipegang oleh saya merupakan antara pemain yang laju di atas padang, jadi saya sentiasa berlatih berlari laju untuk menjiwai watak tersebut,” katanya kepada Astro Gempak ketika tayangan perdana filem Ola Bola di GSC Times Square.

Tambah Hafidz, dia sentiasa membuka pintu sekiranya ada peluang atau tawaran berlakon lagi.

“Boleh dikatakan saya seronok berlakon dan sekiranya ada orang panggil berlakon saya akan pergi. Insya Allah saya akan cuba, sebab saya masih muda. Kalau benda tu berbaloi dan mendatangkan manfaat saya akan buat,” katanya.

Sementara itu, Hafidz turut berkongsi pengalaman pertama kali berlakon filem di bawah arahan pengarah Chiu Keng Guan.

“Ada dua babak yang sangat susah untuk saya. Pertama sewaktu pergaduhan antara ahli pasukan dan kedua di dalam bilik persalinan. Saya terpaksa lakukan hampir 6 ke 7 ‘take’ untuk babak itu sahaja.

“Jadi saya cuba buat yang terbaik untuk Chiu sebab saya tahu dia letak harapan besar terhadap kami pelakon-pelakon baru,” ujarnya.

Filem Ola Bola arahan Chui Keng Guan mengisahkan zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980 dibintangi oleh JC CHee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan Katrina, Bront Palarae dan Frankie Lee.

Ia bakal ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara pada 28 Januari ini.