Bermula 1 September 2015 pihak kerajaan mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat.

Merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) jika pemilik kediaman tidak mengasingkan sisa pepejal.

Sehingga 31 Mei 2016, notis peringatan akan diberikan kepada pemilik yang gagal mengasingkan sisa seperti yang ditetapkan.

Orang ramai dikehendaki menyediakan sendiri apa-apa bekas yang bersesuaian atau plastik sampah untuk mengasingkan sisa pepejal.

Namun, mereka digalakkan menggunakan plastik sampah berwarna biru untuk sisa kertas dan plastik sampah putih untuk sisa plastik dan plastik hijau untuk lain-lain bahan kitar semula.

Pengasingan tersebut juga dilakukan untuk mengurangkan peruntukan wang negara untuk proses pelupusan sisa pepejal.

Sistem kutipan 2 + 1 telah bermula 1 September tahun lalu di mana kutipan bagi sisa baki dilakukan dua kali seminggu manakala kutipan sisa kitar semula, sisa kebun dan sisa pukal dilakukan sekali seminggu.

Turuti tiga langkah mudah untuk mengasingkan sisa pepejal di rumah iaitu, asingkan mengikut jenis yang telah ditetapkan, simpan sementara dalam bekas yang sesuai dan letakkan di tepi tong pada hari kutipan.

Sisa baki mestilah dibungkus dengan rapi ke dalam plastik atau bekas yang sesuai dan dimasukkan ke dalam tong seperti sisa dapur, sisa makanan, bahan-bahan kotor, lampin pakai buang. Kutipan dilakukan dua kali seminggu.

Sisa kitar semula (kertas, plastik dan lain-lain) pula perlu diasingkan dan dibungkus rapi ke dalam plastik atau bekas yang sesuai serta diletakkan di tepi tong pada hari kutipan.

Sisa pukal dan sisa kebun atau laman hendaklah diletakkan dengan dengan kemas di bahu jalan di hadapan rumah pada hari kutipan.

Untuk maklumat lanjut hubungi Talian Indahkan Malaysia di 1 800 88 7472 atau layari www.kpkt.gov.my/separationatsource