Anda kini boleh terus berinteraksi dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila ada kereta yang mementingkan diri sendiri dengan memandu di lorong kecemasan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika merasmikan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri Peringkat Kebangsaan 2019.

“Jika ada pemandu sengaja memandu di lorong kecemasan, kita mengalu-alukan orang ramai untuk salurkan aduan supaya tindakan dapat diambil,” jelas beliau menerusi Berita Harian.

Anda boleh membuat laporan dengan menhantar bukti gambar, nombor pendaftaran kereta, tarikh, masa beserta lokasi kejadian ke nombor hotline JPJ di 013-4498997.

Selain kesalahan menggunakan Lorong kecemasan, anda juga boleh melaporkan pelbagai kesalahan lain antaranya memotong barisan.

Namun, orang ramai tiada hak untuk mengambil tindakan sendiri dan haruslah menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Ops Bersepadu tahun ini bertemakan 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' dan bermula hari ini sehingga 12 Jun.

Loke juga berkata, sempena perayaan Aidilfitri ini, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan larangan terhadap kenderaan berat untuk menggunakan jalan raya selama lima hari bermula pada 1, 2, 3, 8 dan 9 Jun ini.