Selepas tular video seorang lelaki menembak seekor monyet gara-gara tidak menyebut perkataan 'baby sayang', netizen terus mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Malah, golongan selebriti termasuk individu yang mencetuskan trademark 'baby sayang' sendiri, Mira Filzah kesal apabila ia disalah gunakan untuk tujuan keburukan.

BACA: "Tidak Berperikemanusiaan!" - Mira Filzah Kesal Salah Guna Panggilan 'Baby Sayang"

Dalam perkembangan terbaharu, suspek dua beranak yang disyaki terbabit dalam kejadian menganiaya haiwan itu telah diberkas pihak berkuasa di Sitiawan, Perak malam kelmarin.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman Datuk Asmawati Ahmad berkata, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung membuat serbuan di rumah berkenaan 9 malam tadi.

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki iaitu anak beranak selain merampas pistol yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan.

“Kedua-dua tangkapan terbabit dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Asmawati memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berhubungan rakaman video yang tular di media sosial memaparkan tindakan kejam seorang lelaki tempatan menembak kepala monyet menggunakan pistol.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Meninjau di ruangan komen Facebook Geng Keselamatan Negara, rata-rata netizen meluahkan rasa lega apabila suspek berperangai zalim itu berjaya diberkas.

Malah, ada yang mahukan suspek dikenakan hukuman setimpal dengan balasan menganiaya haiwan terbabit.


Terdahulu, rakaman video berdurasi 20 saat itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Dalam rakaman itu, suspek bertindak menggertak haiwan itu untuk menyebut perkataan 'baby sayang' sebelum melepaskan tembakan di kepala monyet terbabit selepas kiraan tiga.

Bangkai haiwan terbabit kemudiannya dipercayai dicampak ke sungai.

Sumber: Harian Metro, Geng Keselamatan Negara