Penyanyi Aizat, 28, menolak dakwaan kononnya sedang rapat dengan bekas pelajar Akademi Fantasia 2013, Aisyah Aziz.

Menurut Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, mereka berdua hanya rakan artis selain turut menghasilkan lagu terbaru Aisyah berjudul Pilihan Sejati.

“Aisyah antara penyanyi yang turut bekerjasama dengan saya. Saya memang baik dengan Aisyah sebab dia selalu datang ke studio. Jadi rasanya tiada hubungan istimewa antara saya dengan dia.

“Dia bukan rakan artis yang paling rapat dengan saya buat masa sekarang. Ramai lagi rakan artis yang turut bekerjasama dengan saya dan hubungan kami hanya biasa seperti rakan artis yang lain,” katanya ditemui pada majlis pelancaran Gegar Aizat 2016 di restoran miliknya, Kari Gegar di Dagang Avenue, Ampang.

Aizat turut meminta supaya peminat tidak tersalah anggap sekiranya terlihat dia dan Aisyah keluar makan bersama.

“Saya dan Aisyah keluar makan bersama sebab kadang kala selepas bekerja lewat di studio kami memang pergi makan bersama,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia belum mempunyai teman wanita dan merancang untuk berkahwin pada umur 30 tahun.

“Ayah saya nasihatkan supaya jangan kahwin awal di mana saya sendiri setuju dengan perkara tersebut. Pada saya benda yang terburu-buru tak bagus. Realitinya benda seperti ini kena rancang betul-betul,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aizat bakal muncul dengan projek Gegar Aizat 2016 iaitu menghasilkan satu lagu pada setiap bulan di mana dalam masa satu tahun.

Gegar Aizat 2016 merupakan antara usaha terbarunya untuk berkongsi dan menarik perhatian peminat menerusi “Vlog”.

“Objektif Gegar Aizat 2016 ialah untuk hasilkan 12 single lagu setiap bulan dalam masa setahun dan kemudian himpunkan menjadi sebuah album.

“Sebenarnya ini adalah gimik Kasi Gegar Entertainment untuk strategi pemasaran album terbaru saya. Antara yang ditampilkan dalam Vlog saya termasuk klip video saya selain turut akan dimuat naik dalam saluran YouTube, OfficialAizatAmdan,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Teks Oleh: Khalid Rahman