Pelawak dan penyampai radio Era FM iaitu Shahrol (Shiro) memberitahu bakal menamatkan zaman dudanya dengan seorang wanita berasal dari Johor.

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizi Azmi, 31, memberitahu bakal bernikah dengan wanita tersebut yang juga seorang ahli perniagaan di kediaman pasangannya itu di Johor Baru.

"Insya-Allah majlis itu akan diadakan Mac ini, namun saya akan beritahu tarikh sebenarnya secara eksklusif menerusi radio Era FM dalam masa terdekat.

"Ia akan diadakan secara sederhana yang bakal dihadiri keluarga terdekat. Di kesempatan itu juga saya akan menjemput peminat-peminat saya di sana yang banyak menyokong kerjaya saya selama ini," katanya.

Bagaimanapun, Shahrol berkata, dia belum bersedia mendedahkan identiti bakal isterinya itu.

"Insya-Allah nanti saya dedahkan sekali siapa bakal isteri saya itu, dia orang Johor juga, senang cari orang Johor boleh balik kampung sama-sama.

Setakat ini, apa yang saya boleh saya katakan, dia wanita yang menepati ciri-ciri wanita idaman saya. Buat masa ini dia bekerja dan ada bisnes di sana," ujarnya.

Tambah Shahrol, dia kini sibuk membuat beberapa persiapan termasuk menghadiri kursus kahwin.

Dia turut bersyukur, majlis perkahwinan tersebut menerima beberapa tajaan.

"Sekarang sedang sibuk buat persiapan, nasib baik ada keluarga yang bantu apa yang patut. Saya juga belum pergi kursus kahwin, walaupun saya pernah berkahwin tapi di Johor perlu hadir kursus kahwin sekali lagi jika mahu berkahwin semula," katanya.

Shahrol pernah berkahwin pada tahun 2008, namun berpisah selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan anak lelaki Muhd Adam Danish, berusia lapan tahun.

Sumber: mStar Online