Filem: Ola Bola

Pelakon: JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar, Bront Palarae dan ramai lagi

Pengarah: Chiu Keng Guan

Genre: Drama / Sukan

Durasi: 103 minit

Penerbit: Astro Shaw

Tarikh Tayangan: 28 Januari 2016

Ulasan Penulis:

Jika ada filem yang boleh melambangkan cerminan masyarakat majmuk negara Malaysia, filem Ola Bola adalah contoh terbaik untuk dipersembahkan di mata dunia.

Sepanjang menonton filem ini, perasaan itu bercampur baur kerana jalan cerita yang disampaikan cukup mengujakan.

Ada beberapa babak yang membuatkan air mata jatuh. Bukan kerana sedih, tetapi kerana penceritaan yang ditonjolkan membuatkan penulis rasa berbangga dan lebih sayang kepada negara.



Semangat kesukanan dijadikan satu perumpamaan betapa kita sebenarnya bergerak dalam satu nafas yang sama.

Sarat dengan nilai-nilai positif, tidak keterlaluan jika penulis mengatakan yang filem ini bakal menjadi sebuah filem yang malar segar dan tidak jemu untuk ditonton berulang kali.

Jika diteliti semula pengisian Ola Bola secara halus, filem yang mengambil latar masa hujung 1970-an sehingga awal 1980-an ini langsung tidak menyentuh mengenai perbezaan warna kulit atau kepercayaan setiap kaum yang ada di Malaysia.

Menyentuh aspek lakonan, kualiti lakonan barisan pelakon baru tidak mengecewakan dan boleh dibanggakan. Mereka berjaya menyampaikan mesej filem ini tepat menuju hati penonton.

Tidak hanya bercerita mengenai sukan bola sepak, Ola Bola berkisar lebih dari itu. Persahabatan, setiakawan, cinta, kesedihan, semangat cintakan negara dan kegembiraan diadun sebati dalam satu filem.

Walaupun kita baru sahaja memasuki tahun baru 2016, tidak keterlaluan jika penulis mengatakan yang filem ini merupakan filem yang terbaik untuk tahun ini.

Bukan sekadar untuk mempromosikan filem ini, tetapi buah tangan sutradara yang pernah menerbitkan filem The Journey ini memang wajib ditonton kerana apa yang disampaikan cukup rencahnya.

Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda!

Sinopsis:

Filem Ola Bola bermula dengan kisah seorang wartawan bernama Marianne yang ditugaskan untuk membuat kajian mengenai pasukan bola sepak negara yang telah mencipta nama pada era 80-an.

Marianne yang mula merasa bosan dengan kerjayanya ingin membuat keputusan untuk berhijrah ke England. Sebelum dia meninggalkan negara, dia membuat keputusan untuk menyiapkan tugasannya buat kali terakhir. Namun, dia menemui suatu perkara yang ternyata mengubah hidupnya.

Mengimbau kembali ketika di awal era 80-an, pasukan bola sepak negara ketika itu berdepan dengan cabaran di mana pemain-pemainnya mempunyai perbezaan pendapat dan tidak sehaluan sehingga menyebabkan kekalahan dalam perlawanan penting.

Keadaan semakin rumit apabila hampir setiap pemain mempunyai isu dan masalah masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka hanya mempunyai satu peluang untuk beraksi di persada dunia.

Jadi, barisan pemain harus mengetepikan hal peribadi demi mengharumkan nama negara. Ketika semangat kembali menyemarak dalam diri, pasukan negara sekali lagi diduga dengan satu cabaran yang mematahkan semangat mereka dan harapan negara.

Ola Bola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar yang terjadi sebelum kejohanan Sukan Olimpik Moscow 1980 ini akan membawa penonton dari pelbagai bangsa untuk sama-sama merasai semangat bersatu hati dan muhibah. Kisah yang penuh ikhtibar ini akan membawa penonton melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian bangsa di Malaysia.

Teks oleh: Kamaruddin Razal