Pelakon filem Bini-Biniku Gangster, Yana Samsudin segan untuk bergandingan dengan abang iparnya, aktor Farid Kamil.

"Semenjak dahulu lagi, saya memang mempunyai perasaan hormat dan segan kepada Farid. Sebabnya adalah kerana dia merupakan senior saya di UiTM. Selain itu, dia juga senior saya di MIG," kata Yana.

Pernah berlakon bersama beberapa tahun lalu, kini Yana dan Farid disatukan semula dalam sebuah drama bersiri terbaru terbitan Astro Oasis, Qanun 99.

"Saya juga pernah bergandingan dengan Farid dalam beberapa filem seperti Aku Masih Dara. Sudah lama tidak berlakon bersama, kini kami bertemu semula dalam Qanun 99.

"Terkini, status Farid sebagai abang ipar saya turut membuatkan saya mempunyai perasaan segan terhadap dirinya. Tetapi kami bersikap profesional sahaja sepanjang penggambaran," katanya kepada Astro Gempak.

Memegang watak sebagai Zahara dalam Qanun 99, Yana melakonkan karakter seorang gadis yang baru sahaja tamat belajar.

"Saya membawa watak seorang siswazah jurusan perundangan yang baru sahaja bergraduasi dan bekerja di firma kepunyaan Khalil, lakonan Farid Kamil.

"Sebagai seorang pekerja baru, Khalil menyuruh Zahara bermula dari bawah dan terdapat beberapa konflik yang berlaku," katanya lagi.

Qanun 99 merupakan sebuah drama bersiri yang berlatarbelakangkan kisah yang terjadi di mahkamah syariah. Diilhamkan dari kisah sebenar, drama bersiri 13 episod ini menggarap pelbagai permasalahan yang pernah berlaku.

Jangan lupa saksikan Qanun 99 di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135) setiap Jumaat, jam 7.30 malam bermula malam ini. (5 Februari 2016).

Teks oleh: Kamaruddin Razal