Anggota kumpulan Awok mengakui belum cukup matang untuk beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Awok berkata, mereka masih dalam fasa mencari idea-idea lawak yang boleh diterima peminat dan penonton MLM.

“Memang agak ‘biru’ jugak apabila orang tak gelak tengok persembahan kami. Itu perkara biasa buat kami yang masih baru lagi dalam dunia komedi.

"Mungkin juga kematangan kami di atas pentas yang masih cuba mencari idea lawak yang boleh diterima umum.

“Kami rasa semua pelawak baru mengalami situasi yang sama seperti kami. Bukan senang untuk berada di atas pentas yang besar seperti MLM,” kata Awok kepada Astro Gempak.

Tambah Awok lagi, mereka memang layak disingkirkan kerana persaingan hebat daripada kumpulan-kumpulan lain yang lebih berpengalaman.

“Mungkin belum ada rezeki lagi untuk Awok berdiri sebaris dengan pelawak-pelawak hebat yang lain. Kami sudah cuba yang terbaik dan redha apabila tersingkir di minggu kedua MLM 2016,” ujar Awok.

Mengulas mengenai lawak Kumpulan Awok yang dikatakan lucah dan keterlaluan, Pengurus Saluran Astro Warna, Emarina Kamal, berkata, 'Content Check' akan dilakukan sebelum para peserta pihak tampil membuat persembahan secara langsung di kaca televisyen.

“Content Check dilakukan untuk menapis lawak-lawak yang agak keterlaluan. Sebab itu ada beberapa perkataan atau ayat kurang bersesuaian tidak disiarkan menerusi kaca televisyen.

“Para peserta juga tahu lawak yang keterlaluan tidak boleh dibawa naik ke atas pentas. Sebenarnya lawak yang cuba disampaikan oleh Awok mempunyai maksud yang berlainan. Cuma pembawaan jalan cerita mereka seakan kelihatan seakan lucah.

“Kami akan sentiasa memantau dan memastikan pelawak tidak tampil dengan lawak-lawak yang kurang menyenangkan,” jelasnya.

Awok yang terdiri daripada Ain, Fiza dan Ayie diumumkan kumpulan yang tersingkir pada minggu kedua Maharaja Lawak Mega selepas menerima undian terendah, dua minggu berturut-turut.

MLM 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 29 Januari di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut!

Teks Oleh: Khalid Rahman