Penyanyi Datuk Nassier Wahab mengakui tidak mempunyai rahsia dalam mengekalkan wajah awet muda.

Menurut laporan Astro Awani, Nassier berkongsi beberapa amalan yang dilakukan olehnya yang kini sudah berusia 57 tahun.

"Sebenarnya yang paling penting dalam mengekalkan wajah awet muda ini, ialah bermula dengan pemakanan.

"Jaga hubungan dengan Allah. Dekatkan diri kita dengan Allah kalau boleh solat tepat pada waktunya, jangan tinggal sembahyang, rajin-rajin baca Al-Quran, baca kisah-kisah Nabi (kerana) banyak beri panduan. It's a guide to us," katanya.

Dalam masa sama, Nassier juga memberi penekanan mengenai kepentingan bergaul dengan persekitaran yang positif.

Kata Nassier, pergaulan dengan orang-orang positif memberikan kesan yang baik kepada dirinya.

Nassier juga mengakui tidak terlepas daripada dibelenggu oleh tekanan namun beliau mempunyai cara tersendiri untuk mengurus isu itu.

Pendekatan Nassier dalam mengurus tekanan ialah bersikap positif dan reda selain tidak melarikan diri daripada masalah.

Penyanyi lagu Memori Cinta Luka itu memberitahu, beliau juga sentiasa berusaha menghindarkan diri daripada dikelilingi oleh individu-individu yang membawa pengaruh negatif.

“Elakkan daripada berjumpa dengan orang-orang yang boleh beri kita stres, jadi saya sering berdoa kepada Allah untuk jauhkanlah orang yang sering beri masalah kepada aku,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Nassier juga menjalani gaya hidup yang sihat selain tidak terlepas melakukan senaman ringan setiap hari.

Sempena bulan puasa, Nassier turut berkongsi amalan pemakanannya pada bulan Ramadan yang cukup sederhana.

Katanya, memandangkan beliau mempunyai penyakit gastrik, justeru menjadi keperluan baginya menjamah nasi ketika waktu sahur selain mengelakkan sajian pedas.