Kerap dikaitkan dengan pelawak Zizan Razak dan pelakon Remy Ishak, aktres Mira Filzah mengakui tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana jejaka.

Secara berseloroh, Mira mengakui penat apabila sering diajukan soalan berkaitan dengan Zizan dan Remy.

"Penat dengar soalan tu... Kalau main kuiz di Instagram, selalu orang akan pilih dua nama berikut. Tak adalah, saya rasa kalau boleh, cukup sampai situ sahaja soalan yang menyuruh saya memilih antara Zizan atau Remy.

"Sudah saya katakan banyak kali, saya tidak bersama sesiapa pun. Tiada sesiapa lagi di hati saya. Kalau bergandingan dalam drama dan mereka memperkatakan mengenai perkata tersebut, saya tak kisah, tetapi 'in real life', perkara tu memang tak ada," kata Mira.


Mira ditemui di majlis pertunjukan fesyen Floraya Ariani 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mencari seorang lelaki yang lebih berusia, Mira mahu seorang jejaka yang matang dan boleh membimbing dirinya.

"Saya lebih selesa dengan lelaki yang lebih berusia. Mira tak suka dengan lelaki yang muda atau sebaya.

"Mereka mungkin lebih matang. As time goes by, kita pun nak perhubungan yang lebih stabil, orang yang memahami, karier, kerjaya dan masa. Saya mahu seorang jejaka yang boleh membimbing saya," katanya lagi.