Mana-mana individu yang tidak mampu menghafal Al-Fatihah ketika bersolat agar membaca
'bismillahirahmanirahim'dan mengulanginya sebanyak tujuh kali, pesan Mufti Wilayah Persekutuan
Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

"Jika langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada al-Qur’an, maka bolehlah orang itu
menggantikannya zikir-zikir", jelas Dr. Zulkifli menerusi artikel yang diterbitkan beliau di
laman web Mufti Wilayah Persekutuan pada Ahad.

Menurut laporan Astro Awani, pesanan ini dibuat beliau ketika merujuk kepada pendedahan
pengarah sensasi Michael Ang yang mengakui terpaksa melafazkan bacaan dan surah solat fardu
dalam bahasa Inggeris kerana mengalami kesukaran untuk membacanya dalam bahasa Arab selepas
lebih setahun memeluk Islam.

"Adapun perbuatan menterjemah (bacaan dan surah solat fardu) mengikut pandangan jumhur ulamak
tidak dibenarkan kecuali satu pendapat dalam mazhab Hanafi yang menyatakan boleh untuk membaca
seperti terjemahan akan tetapi diberi tempoh tertentu."

"Kepada yang tidak mampu baca al-Fatihah dalam bahasa Arab, bacalah ayat al-Quran seperti
'bismillahirahmanirahim'yang diulang tujuh atau lapan kali seolah-olah sudah menyamai surah al
Fatihah."

BACA: Alhamdulillah! Michael Ang Dedah Sudah Peluk Islam!

BACA: "Jangan Sindir & Perli, Tetapi..." - Ustaz Firdaus Wong Kongsi Detik Pengislaman Michael Ang

Beliau juga berpesan agar mana-mana individu yang tidak mampu menghafal bacaan wajib ketika
bersolat mulakan dengan menghafal perkara-perkara rukun terlebih dahulu seperti al-Fatihah.

"Mungkin boleh hafal secara beransur-ansur mengikut potongan ayat seperti menghafal satu hari
satu ayat atau satu minggu satu ayat dan kemudian menambah lagi sedikit demi sedikit secara
beransur-ansur," jelasnya.

Minggu lalu, Michael membuat pengakuan mengejut bahawa sudah memeluk agama Islam sejak lebih
setahun lalu.

Sumber: Astro Awani