Pelakon popular antarabangsa Jackie Chan, 61, menambah aset mewah dengan membeli sebuah jet peribadi bernilai RM82 juta.

Jackie dikatakan pelanggan China pertama membeli jet model Legacy 500 keluaran terkini Embraer Aerospace, keluaran terbaharu syarikat berpangkalan di Brazil itu.

Pada tahun 2012, bintang yang turut menjadi duta pembuat pesawat komersial, perniagaan dan militari itu membeli model Legacy 650 keluaran syarikat sama.

"Saya sangat teruja dapat memiliki jet eksekutif mewah Legacy 500. Sejak beberapa tahun lalu, Legacy 650 kepunyaan saya memberi pengalaman pengembaraan yang menakjubkan dan selesa.

"Pesawat ini membolehkan saya memenuhi undangan dan komitmen lakonan di seluruh dunia dengan lancar.

“Saya pasti Legacy 500 mampu memenuhi jangkaan serta menjadi kediaman dan pejabat bergerak yang efisien," katanya.