Pelakon dan pengacara Neelofa memberitahu mahu lebih ‘daring’ mengacarakan Anugerah MeleTop Era 2016 (AME 2016) memandangkan ini kali ketiga dia mengendalikan acara itu.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 27, turut menjanjikan kelainan dan kesegaran dalam pembabitannya sebagai hos AME 2016.

“Alhamdulillah, ini kali ketiga saya bergelar hos di AME. Tahun ini apa yang boleh saya katakan, saya akan lebih ‘daring’ dari segi pengacaraan.

“Ketika saya berada di New York baru-baru ini, saya sempat menyaksikan persembahan Broadway ketika menjalani kursus pendek di sana.

“Jadi dari situ saya mendapat inspirasi untuk menjayakan pengacaraan ini dan saya sudah berbincang dengan mereka yang terlibat. Saya harap semuanya berjalan dengan baik,” katanya yang akan menggayakan busana daripada pereka, Fizi Woo pada malam AME 2016 nanti.

Selain Neelofa, pengacara lain yang turut memeriahkan malam AME adalah Nabil Ahmad, Datuk AC Mizal dan Jihan Muse.

Sementara itu, Neelofa turut memberitahu dia bakal menerbitkan sebuah buku berjudul The Chic Codes yang mengisahkan kehidupannya.

“Proses hasilkan buku ini dilakukan sejak tahun lalu dan sekarang ia telah pun berada dalam proses kemas kini.

“Insya-ALLAH, jika tidak ada aral melintang, buku itu akan dilancarkan sekitar April atau Mei ini,” katanya.

AME 2016 bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Konvensyen Kuala Lumpur (CIDB) bermula jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan siaran serentak di Ria HD (saluran 123).

Tetapi, jangan lupa untuk terus mengundi calon top 5 anda di Anugerah MeleTOP Era 2016 atau www.era.fm. Peminat juga boleh mengundi menerusi aplikasi Raku atau undian sistem pesanan ringkas (SMS).