Anugerah Meletop Era 2019 (AME2019) telah berlangsung dengan meriah bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Bertemakan 'Yang Legit Yang Legend', acara gilang gemilang itu dihoskan oleh tiga orang pengacara kegemaran ramai iaitu Neelofa, Nabil dan Jihan Muse.

Khai Bahar dan Siti Nordiana telah berjaya merangkul trofi Artis Top Meletop 2019 dan masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM 10,000.

Seperti biasa, acara berprestij sebegini akan diwarnai dengan pelbagai perkara menarik sepanjang ia berlangsung, di sini, Gempak bawakan kepada anda corat-coret AME 2019 :

1. Kemeriahan Mula Terasa Sebelum Acara Bermula

Ruang Axiata Arena mula dimasuki kira-kira jam 8.15 malam, kemeriahan mula dirasa apabila kelab peminat bersorak penuh semangat melihat artis kesayangan mereka memasuki ruang arena seakan tidak sabar menantikan acara itu bermula.

2. Tentera Paskal Membuka Tirai...So Energetic!

Pentas AME 2019 dibuka oleh Hairul Azreen dan sekumpulan penari yang melakukan kawad berkonsepkan tentera lalu diiringi persembahan dari Aman Ra yang menyampaikan lagu Cabang Tiga.

3. Wow! Neelofa Menari Macam Beyonce!

Neelofa menerima sorakan apabila menari lagu Single Ladies yang dipopularkan oleh Beyonce ketika segmen pengenalan hos AME 2019, Nabil turut menarik perhatian ramai dengan tariannya manakala Jiehan berjaya membuat penonton tertawa dengan persembahan parodi Konsert Siti Nurhaliza On Tour.

4. Kemunculan Mira Filzah Bersama Remy Ishak

Ketika Remy Ishak dan Rashidi Ishak menyampaikan anugerah bagi kategori Artis Baharu Meletop, Mira Filzah muncul secara tiba-tiba untuk menyertai dua aktor itu di pentas. Penonton bersorak seakan mengusik Mira dan Remy yang pernah digosipkan sebelum ini.

5. Atikah Suhaime Minta Tips Move On Dari Sufian Suhaimi

Aktres Atikah Suhaime digandingkan bersama Sufian Suhaimi bagi menyampaikan kategori Drama Meletop dan Pelakon Meletop. Penonton bersorak apabila Atikah bergurau meminta tips untuk move on dari Sufian, semua sudah tahu kedua-dua artis ini pernah mengalami perpisahan selepas mengikat tali pertunangan.

6. Ratu Rock Negara Layak Terima Standing Ovation!

Ratu rock negara, Ella berjaya memukau penonton dan boleh dikatakan antara persembahan paling meriah malam tadi. Penonton berhibur dengan turut menyanyi bersama untuk tiga buah lagu yang dipersembahkan iaitu Sepi Sekuntum Mawar Merah, Layar Impian dan Permata Pemotong Permata.

7. Lagu Throwback Siti Nordiana Bersama Khai Bahar

Siti Nordiana (Nana) dan Khai Bahar menyanyikan lagu throwback ketika zaman duet Nana bersama Allahyarham Achik Spin. Mereka menyampaikan lagu Gurauan Berkasih, penonton turut menyanyi bersama seakan berada di bilik karaoke!


8. Peminat Anita Sarawak Lepas Rindu!

Haqiem Rusli menyanyikan lagu Akhirnya Kini Pasti yang dipopularkan oleh penyanyi Legenda, Anita Sarawak. Penonton terhibur dan sudah pastinya peminat Kak Nita lepas rindu mendengar lagu popularnya dipersembahkan di acara berprestij sebegini.

9. Kemunculan Datuk M Daud Kilau

Penyanyi senior berbakat, Datuk M Daud Kilau muncul ketika Sufian Suhaimi menyanyikan lagunya yang berjudul Cik Mek Molek. Penonton sekali lagi bangun memberi penghormatan apabila dia menerima trofi Anugerah Khas Meletop.


10. Wow! Neelofa Pakai Rantai RM 2.5 Juta!

Selain kemeriahan di pentas, rantai yang digayakan Neelofa turut menjadi perhatian. Hos popular itu menggayakan rantai dari jenama barang kemas Habib Jewels bernilai RM 2.5 juta. Perkara itu didedahkan sendiri oleh jurugayanya malam tadi, Minluna di laman Instagram.

Remember, a diamond is coal that did well under pressure. Youve done so well tonight! For year 5 of #AME, I bawakan RM2.5 million worth of diamond for you ? from @habibjewelsofficial ? #MinLunaOnSet

A post shared by MINLUNA (@minluna) on


Secara keseluruhannya, AME 2019 berjaya memukau penonton. Semua persembahan mempunyai aura yang cukup tinggi sehingga membuat penonton hampir tidak henti menari dan menyanyi bersama untuk menyokong artis kegemaran mereka.

Di kesempatan ini, Gempak mengucapkan tahniah kepada semua pemenang AME 2019!