Seseorang 'muse' atau wajah utama untuk sesebuah kempen fesyen biasanya menjadi perhatian dan buruan media.

Terutama ketika acara pertunjukan fesyen jenama terbabit mahu pun sepanjang kempen berlangsung.

Bagaimanapun, adik kepada selebriti terkenal Neelofa, Ameera Khan gagal hadir ke acara pertunjukan fesyen Rico Rinaldi yang mana telah melantiknya sebagai 'Face of Summeraya 2019'.

Ketiadaan Ameera mengundang tanda tanya dalam kalangan peminat dan media yang menantikan kehadirannya untuk acara terbabit.

Menjawab persoalan itu, kata Rico Rinaldi ketiadaan Ameera bersebab!

"Saya sudah dimaklumkan oleh Ameera bahawa dia telah dimasukkan ke wad akibat jangkitan dalam perut pada hari sama dengan pertunjukan fesyen saya.

"Jadi tiada sebarang isu pun. Kami baik-baik saja dan dia sendiri telah menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan terkininya.

"Malah, selepas acara berlangsung semalam dia telah mengirimkan bunga sebagai tanda penghargaan dan permohonan maaf.

"Jadi, saya minta maaf kepada semua yang menanti-nanti ketibaan Ameera," kata Rico.

Ameera dilantik sebagai Face of Summeraya 2019 menggantikan Neelofa untuk kempen fesyen sama tahun lalu.

Menerusi koleksi terbaharu dari Rico Rinaldi, sebanyak 45 rekaan dipersembahkan ketika pertunjukan fesyennya yang berlangsung di GMBB, Kuala Lumpur semalam.

Mengambil inspirasi daripada rama-rama, koleksi Summeraya 2019 terdiri daripada Bespoke, Ramadan dan ready-to-wear.