Pelawak Johan akui terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Couple MeleTOP di Anugerah MeleTOP yang berlangsung pada Ahad.

Menurut Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 32, dia tidak pernah menyangka akan memenangi kategori tersebut kerana selebriti yang tercalon adalah hebat - hebat belaka.

“Perkara palaing terkejut pada malam tersebut ialah apabila nama saya dan Ozlyn (isteri) dinobatkan sebagai pemenang Couple MeleTOP.

“Tak pernah terlintas langsung untuk menang anugerah itu memandangkan selebriti yang tercalon semuanya hebat-hebat berbanding dengan kami.

“Kalau nak dibandingkan, kami ini selekeh saja tapi tak sangka boleh menang Couple MeleTOP. Terima kasih kepada peminat yang mengundi,” katanya ketika ditemui di Anugerah MeleTOP 2016, bertempat di Pusat Konvensyen CIDB, pada Ahad.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangannya di anugerah tersebut, Johan memberitahu akan mengalas tugasnya sebagai pelawak dengan baik supaya tidak menghampakan peminatnya.

“Setiap tahun memang berat tanggungjawab saya sebagai seorang comedian di mana saya perlu ada benda-benda atau idea baru untuk ditunjukkan kepada peminat.

“Jadi saya akan mempertingkatkan mutu persembahan tidak kira sama ada di televisyen, radio mahupun persembahan secara live.

“Sebab bagi saya ini dah jadi lumrah, menang atau tidak kita perlu galas tanggungjawab dan kerja yang dilakukan dengan baik,” ujarnya.

Terdahulu, Johan telah merangkul lima anugerah iaitu Top Top MeleTOP, Radio MeleTOP, Program Radio MeleTOP, Artis Lawak MeleTOP dan Couple MeleTOP.

Teks Oleh: Mya Amri