Lima bekas juara bakal bersaing di program Kilauan Emas Otai yang akan bersiaran bermula 9 Mac depan.

Menurut pengurus saluran Astro Prima, Farah Zainul, format dan konsep Kilauan Emas masih kekal seperti biasa dan akan menjanjikan pelbagai kejutan sehingga di pentas akhir.

“Untuk edisi kali ini kami membawakan kembali lima bekas juara yang bakal beraksi di pentas Kilauan Emas Otai secara automatik sehingga pentas akhir dan 10 peserta Hotseats yang pernah menyertai program Kilauan Emas sebelum ini.

“Kami masih mengekalkan konsep seperti sebelum ini dan pastinya akan menjanjikan pelbagai kejutan menarik khas buat peminat Kilauan Emas sepanjang minggu,” katanya pada sidang media Kilauan Emas Otai di The Gardens Theatre, Kuala Lumpur.

Farah berkata, 10 peserta Hotseats bakal dipilih sewaktu konsert minggu pertama Kilauan Emas Otai yang diadili oleh tiga barisan pihak juri profesional.

“Barisan juri tetap edisi istimewa ini ialah Datuk Haji Ramli Ms, Erra Fazira dan seorang lagi akan diumumkan pada malam konsert minggu pertama nanti," katanya.

10 peserta Hotseats yang bakal merebut tempat ke peringkat seterusnya pada 9 Mac nanti ialah Elji Johor, 44), Nas (Pahang, 45), Silah (Johor, 55), Rina (Sabah, 65), Idris (Perak, 54), Aziana (Kuala Lumpur,48) , Raida (Johor, 43), Ben (Sabah, 65), Taurath (Sarawak, 51) dan Shamsiah (Johor, 54).

Tiga tenaga pengajar turut diperkenalkan iaitu Siti Hajar sebagai guru vokal dan Ayai Ilusi sekalu guru seni persembahan. Manakala Shah Slam pula dilantik sebagai pengarah muzik.

Lebih istimewa, buat pertama kali Kilauan Emas Otai menampilkan pelakon, Zara Zya sebagai pengacara untuk Nota Kilauan Emas Otai sementara Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau Kak Engku kekal sebagai pengacara.

Juara Kilauan Emas Otai bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 beserta trofi sumbangan astro.

Naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM50,000 beserta trofi. Mankala tempat ketiga dan keempat masing-masing bakal menerima wang tunai RM30,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Konsert pertama Kilauan Emas Otai bakal berlangsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras pada 9 Mac depan bermula jam 9.30 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Layari www.kilauanemas.com.my untuk info lanjut.