Pelakon Anzalna Nasir enggan memikirkan mengenai dakwaan yang mengatakan ada seorang pelakon wanita yang dengki terhadap gaun perkahwinannya yang direka oleh Cosry.

Menerusi ruangan Miss K semalam, ada seorang pelakon wanita yang didakwa menghasut pihak Cosry supaya mereka baju perkahwinan Anzalna dengan konsep 'ala-ala' sahaja.

“Saya tak tahu siapa individu yang dimaksudkan. Jika ada pelakon wanita yang dengki, saya enggan memikirkan sangat mengenainya. Saya mahu biarkan sahaja perkara itu berlalu dan saya hanya berharap semoga dirinya dirahmati,” kata Anzalna ringkas.

Gaun cantik yang disarungkan oleh Anzalna di majlis resepsi perkahwinannya dengan Hanif Zaki pada 27 Februari lalu mendapat pujian ramai dan menjadi viral di laman sosial.

Menurut Anzalna, dia malas memikirkan mengenai perkara-perkara lain. Apa yang penting bagi pelakon drama bersiri Memori Cinta Suraya ini, semuanya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, saya rasa gembira dan bersyukur kerana dapat menyarungkan gaun idaman di hari bahagia saya. Terima kasih kepada Putra Aziz, Alia dan Ijat kerana merealisasikan apa yang saya impikan. Saya gembira melihat kaum keluarga serta sahabat handai berkumpul dan meraikan hari bahagia saya.

“Saya juga sangat bersyukur kerana majlis pernikahan dan perkahwinan berjalan lancar. Saya berterima kasih kepada perancang perkahwinan saya, The Cala serta pihak Dior dan Syahirah yang menaja cenderahati sempena majlis resepsi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Anzalna kini berehat seketika dari dunia lakonan bermula Disember tahun lalu bagi memberi laluan kepada majlis perkahwinannya. Anzalna bakal melangkah ke set penggambaran semula bermula Mei ini.

Kredit foto: Instagram @anzalnanasir88 dan @mangotouch