Kumpulan Bos mengakui penyingkiran mereka di minggu keenam Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) disebabkan kurang undian daripada penonton.

Menurut Bos, mereka tidak mempunyai sokongan yang kuat daripada peminat dan penonton memandangkan kumpulan mereka masih terlalu baru di MLM.

“Kami akur dengan keputusan penyingkiran untuk minggu ini kerana tiada sokongan kuat daripada peminat dan penonton. Bos masih terlalu baru di pentas MLM dan perlu banyak masa untuk dapatkan keyakinan penonton.

“Bayangkan Bos harus berhadapan dengan kumpulan yang lebih lama dan pengalaman seperti kumpulan Lol, Cham dan Joras yang memang sudah lama di pentas komedi,” kata Ajo mewakili kumpulan Bos.

Walau bagaimanapun, Bos berkata mereka tidak berkecil hati disingkirkan kerana mampu bertahan sehingga di minggu keenam.

“Kami bertiga sangat berpuas hati dan tidak kecewa selepas disingkirkan dari pentas MLM 2016. Minggu keenam satu percapaian yang boleh dibanggakan memandangkan Bos baru sahaja ditubuhkan. Banyak benda yang perlu kami perbaiki sekiranya diberi peluang untuk beraksi semula di MLM yang akan datang,” kata Bos.

Tambah Ajo dan Abu, mereka sangat gembira berganding dengan Ezad yang banyak membantu kumpulan Bos sejak di minggu pertama MLM 2016.

“Saya dan Abu sangat berpuas hati dan bersyukur kami mampu bertahan sehingga di minggu keenam MLM 2016. Ezad banyak bantu kami dari awal minggu sehingga Bos disingkirkan.

“Tidak sangka gandingan kami dengan dengan Ezad boleh diterima ramai. Kami ingin mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada Ezad yang sudi menyertai Bos untuk bersaing di pentas MLM,” ujar Abu.

Minggu keenam Maharaja Lawak Mega 2016 menyaksikan kumpulan Bos yang dianggotai oleh Ajo, Bos dan Ezad Lazim tersingkir selepas menerima undian terendah dikalangan tiga tercorot.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.

Teks Oleh: Khalid Rahman