Filem Ola Bola terus mengganas dan mendapat perhatian penggemar filem di pawagam dengan menerima kutipan sebanyak RM16 juta selepas 39 hari tayangan.

Masih ditayangkan sehingga kini, filem terbitan Astro Shaw, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd dan Multimedia Entertainment Sdn Bhd itu mendapat kutipan box-office tertinggi di Malaysia, selepas The Journey (2014) yang mencapai RM17.3 juta dan Polis Evo (2015) yang memecah rekod sebanyak RM18 juta.

Diarahkan oleh Chiu Keng Guan, Ola Bola merupakan sebuah filem fiksyen mengenai pasukan pemain bola sepak yang terdiri dari pelbagai budaya menghadapi isu-isu peribadi dan cabaran pasukan untuk berjuang bagi mendapat peluang kejayaan di peringkat antarabangsa.

Filem yang dibintangi oleh JC Chee, Saran Kumar, Luqman Hafidz, Bront Palarae dan ramai lagi ini sarat dengan aksi dan emosi. Ia membawa kita mengimbau zaman kegemilangan sukan bola sepak dan menampilkan semangat seluruh rakyat negara yang bersatu bersama untuk menyokong pasukan kebangsaan.

Ola Bola yang meneruskan tayangan pada minggu keenam, telah dijemput untuk menyertai official selection di Taipei Golden Horse Fantastic Film Festival pada 8 sehingga 17 April 2016.

Untuk mengikuti info terkini tentang OlaBola, sila layari www.olabola.com.my, www.olabola.tv, www.youtube.com/astroshaw, www.facebook.com/astroshaw dan www.instagram.com/astroshaw.

Jangan lupa saksikan filem Ola Bola di pawagam berdekatan dengan anda sekarang!