Tidak berputus asa dalam membuktikan minat mendalamnya terhadap dunia muzik, bintang yang semakin meningkat naik Sophia Fredskild kembali dengan sebuah lagi karya bertajuk Forever Mine.

Lagu ini juga merupakan single Inggeris terbarunya dan telah dilancarkan pada 29 Mac 2019 lalu. Ia merupakan sambungan kepada lagunya yang terdahulu iaitu Waiting For Love dan versi Melayu berjudul Menanti Cinta.

Forever Mine adalah lagu kedua dalam trilogi lagu-lagunya menceritakan kisah cinta seorang remaja. Kali ini, kisahnya membawa kepada Sophia yang akhirnya menemui jejaka pilihannya untuk selama-lamanya.

Atas dasar itu lagu ini dinamakan Forever Mine. Ia mencoretkan detik dia bertentang mata dengan jejaka tersebut buat pertama kali dan perasaannya yang berasa malu serta gementar acap kali bersua kerana dia sudah sering mengimpikan kehadiran lelaki itu.

Video muzik lagu ini menterjemahkan mesej lagu dan menunjukkan Sophia dalam beberapa era berbeza sebagai simbol bahawa dia ingin bersama jejaka tersebut selamanya, di setiap tahun, abad dan era.

Ia juga telah dirakam di berbagai lokasi termasuk sebuah salun rambut, sebuah taman dan beberapa babak di depan layer hijau untuk menggambarkan era-era yang berbeza.

Versi Bahasa Melayu lagu ini bertajuk Cinta Selamanya dan akan dilancarkan sekitar Julai 2019.