Pelakon Indonesia Pevita Pearce menafikan dipilih membintang filem Aach…Aku Jatuh Cinta (AAJC) hanya kerana cantik dan ramai pengikut di media sosial.

Pevita percaya bakat lakonan yang ada pada dirinya merupakan sebab utama membuatkan dia menjadi pilihan pengarah filem tersebut iaitu Garin Nugroho.

“Kalau kata saya dipilih hanya kerana cantik dan ada ramai pengikut di Instagram serta Twitter saya anggap itu sebagai satu bonus.

“Tetapi dalam erti kata lain, jika saya tidak ada bakat dalam bidang lakonan mana mungkin saya pernah menang beberapa anugerah sebelum ini.

“Sebagai seorang aktres yang sangat meminati bidang lakonan, saya hanya mahu lakukan yang terbaik kerana ini adalah kerja saya dan saya sangat sukakannya.

“Saya juga akan sentiasa memperbaiki mutu lakonan untuk memberikan kepuasan kepada penonton yang menonton lakonan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem tersebut baru-baru ini.

Bercerita mengenai wataknya sebagai Yulia, Pevita mengakui dia tidak mempunyai sebarang masalah walaupun filem tersebut berlatarbelakangkan era 70-an sehingga 90-an.

“Teruja sebaik saja diberi tawaran untuk lakonkan watak Yulia dan saya tidak ada masalah sepanjang pengambaran filem ini kerana telah membuat persiapan awal.

“Lagipun pengarah dan juga pelakon utamanya, Chicco banyak membantu dan saya selesa bekerjasama dengan mereka,” ujarnya.

Filem romantik komedi Aach… Aku Jatuh Cinta bakal ditayangkan di Malaysia bermula 17 Mac ini.