Jenazah komposer terkenal, Datuk Adnan Abu Hassan, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Sungai Ramal Dalam, Kajang kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Allahyarham Adnan sebelum itu dimandi, dikafan serta disolatkan di Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam.

Antara kenalan artis yang turut menziarahi arwah ialah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Terdahulu, Adnan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Selayang selepas mengalami kegagalan buah pinggang selain denyutan jantungnya lemah yang memerlukannya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Komposer berpengaruh yang pernah menaikkan nama penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff dan Misha Omar ini menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.17 pagi tadi di hospital berkenaan.

Antara karya popular yang dihasilkan termasuklah Jerat Percintaan, Teratai Layu Di Tasik Madu, Bunga-Bunga Cinta, dan Puncak Kasih.

Adnan juga turut menerima pengiktirafan Anugerah Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-17 pada tahun 2010 di atas sumbangan besarnya terhadap industri hiburan.

Sumber: Utusan Online