Pelakon dan pengacara Neelofa mengakui kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh adiknya, Ameera Khan dalam menunjukkan minat melibatkan diri dalam industri seni.

Menurut Neelofa, dia tidak sangka Ameera mampu menempatkan dirinya sejauh ini memandangkan permulaan mereka berdua sangat berbeza.

"Saya sangat bangga. Nasihat saya, untuk berada dalam industri ini mental perlu kuat dan kental.

"Saya pun tidak sangka dia boleh pergi sejauh ini. Sebenarnya, mental dia lagi kuat daripada saya sebab permulaan kami dalam industri sangat berbeza.

"Dia tidak bermula sebagai pelakon dan penyanyi atau pengacara, namun tidak mudah terkesan dengan apa yang orang kata tentang dirinya.

"Dia bertuah kerana saya sudah berada dalam bidang ini tatkala dia baru hendak bermula," katanya kepada Gempak.

Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman senarai pencalonan top 5 Anugerah MeleTOP ERA 2019, di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini

Undian fasa kedua Anugerah MeleTOP ERA 2019 (AME 2019) untuk menentukan pemenang akhir boleh dibuat menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan dan portal rasmi ERA serta melalui kiriman SMS sehingga 21 April ini.

AME 2019 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari Ahad, 21 April 2019.