Peserta solo program Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Rayza Mukmin, tidak bersetuju dengan kritikan Sharnaaz Ahmad mengenai ‘Stand-up Comedy’.

Rayza atau nama sebenarnya Mohd Rizal Fahmi Mukhter, berkata, dia cuba melakukan perubahan landskap komedi tanah air sedia ada.

“Apa yang Sharnaaz cakap itu betul, kita bukan tinggal di Amerika Syarikat sebab rakyat Malaysia belum bersedia dengan konsep ‘Stand-up Comedy’. Itu memang realitinya, cuma ada orang tidak mahu berubah dan ada pula yang nak perubahan. Saya pilih untuk lakukan perubahan.

“Tapi saya kurang setuju dengan kritikan yang dilemparkan oleh Sharnaaz. Saya dan rakan-rakan yang lahir dari ‘Stand-up Comedy’ cuba nak ubah landskap komedi tanah air,” katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Rayza, dia percaya rakyat Malaysia mahu lebih ramai pelawak ‘Stand-up Comedy’ mewarnai dunia komedi tanah air.

“Saya yakin peminat komedi tanah air boleh terima konsep ‘Stand-up Comedy’ seperti di Indonesia. Ia bakal menerima sambutan umum cuma bukan dalam masa terdekat, itu sahaja.

“Saya antara pelawak yang mewarisi legasi ‘Stand-up Comedy’ yang pernah dipopularkan oleh pelawak seperti Harith Iskander dan Nabil Ahmad. Saya tak rasa akan berjaya mengubah landskap komedi tanah air buat masa sekarang.

“Akan datang mungkin akan ada muka-muka baru yang mampu untuk lakukan perkara tersebut. Sekurang-kurangnya saya cuba untuk menyambung apa yang sedia ada. Saya tak mahu ‘Stand-up Comedy’ berhenti begitu sahaja atau terus dilupakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rayza mengaku sangat terkejut apabila tahu dia mempunyai peminat yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan setiap kali muncul di pentas MLM 2016.

“Saya sangat terharu dan terkejut kerana ramai pula yang sentiasa beri sokongan kepada saya di MLM 2016. Saya masih terlalu baru dan kini sudah boleh diterima ramai. Untuk orang yang masih mentah di pentas seperti MLM, berada di minggu kelapan sudah cukup baik buat saya,” katanya.

Minggu kelapan MLM 2016 menyaksikan Rayza Mukmin, Enjen dan Puteh berada di kelompok tiga terbawah namun tiada penyingkiran yang berlaku.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.

Teks Oleh: Khalid Rahman