Berita pembatalan perkahwinan pasangan Awi Rafael dan Atikah Suhaime mengejutkan industri hiburan.

Dijadualkan bernikah pada hujung minggu ini, Awi dan Atikah memaklumkan mengenai pembatalan terbabit di laman sosial masing-masing.

Namun begitu, kedua-dua selebriti ini telah memadamkan entri terbabit beberapa jam selepas memuat naik kenyataan tersebut.

Menerusi kenyataan media yang dihantar oleh pihak pengurusan Awi, Warner Music Malaysia, jejaka itu mohon untuk diberikan ruang dan masa.

"Semua sedia maklum tentang perkahwinan Awi Rafael bersama Atikah Suhaimi yang dijadualkan bakal berlangsung pada 17 Mac 2019 (Ahad) ini telah dibatalkan di atas sebab-sebab yang tertentu.

"Kami dari pihak Warner Music Malaysia mewakili Awi Rafael ingin memohon kepada rakan media untuk memberi ruang dan masa kepada Awi Rafael sebelum beliau dapat menjawab apa-apa persoalan atau membuat kenyataan yang seterusnya.

"Awi Rafael kini berada di Singapura bersama keluarga tersayang dan memohon jasa baik rakan media memahami akan keadaan Awi.

"Awi juga berterima kasih kepada semua rakan media yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya beliau dari dulu hingga kini," jelas pihak pengurusan Awi.

BACA: "I Thought I Could Fix Things At The Last Minute .." - Atikah Suhaime & Awi Rafael Tak Jadi Kahwin

BACA: "Niat Dihati Untuk Membina Masjid, Menutup Aib Dia Yang Dulu" - Awi Rafael Batalkan Perkahwinan Dengan Atikah Suhaime

Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurus Atikah, Adlina Abu Bakar, pelakon itu meminta semua bertenang dan berharap tiada pihak membuat sebarang andaian.

"Berita tentang Atikah Suhaime tidak jadi melangsungkan perkahwinan dengan Awi Rafael sudah tersebar. Disini saya sebagai pengurus Atikah meminta semua pihak bertenang dan tidak membuat apa-apa andaian.

"Mari kita doakan yang terbaik bagi kedua-dua mereka. Buat masa ini, Atikah pulang ke Singapura dan berilah sedikit ruang untuk Atikah bertenang dan harap tiada pihak mengganggunya.

"Atikah sempat memberitahu saya:

"Sebagai seorang perempuan biarlah pihak lelaki yang memberi jawapan dahulu. Saya hanya boleh katakan kami tiada jodoh untuk bersama. Apa yang terjadi mesti ada hikmah di sebalik semua ini. Saya akur dengan keputusan keluarga dan saya amat menghormati Awi dan keluarganya.

"Saya minta maaf. Saya akan keluarkan kenyataan bila saya sudah bersedia. Saya berharap semua peminat, rakan-rakan media serta rakan-rakan industri memahami situasi saya sekarang.

"Saya juga berharap diberi sedikit ruang dan waktu untuk saya ketika ini. Terima kasih semua... Saya sayang anda semua. Doakan yang terbaik buat saya,
" jelas kenyataan terbabit.

Awi dan Atikah mengikat tali pertunangan pada 17 Mac tahun lalu dan dijangka berkahwin pada Ahad ini.