Kumpulan Bocey, tidak ambil hati dengan teguran Shaheizy Sam yang menganggap mereka terlalu selesa dengan kedudukan mereka di pentas Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Peserta kegemaran MLM 2016 ini berkata, Bocey sentiasa mengambil positif setiap teguran juri kerana tahu ia akan membantu persembahan mereka setiap minggu.

“Pihak juri memang ada hak untuk menilai persembahan setiap peserta. Bagi kami, Sam menegur kerana dia mahu kami memantapkan idea yang kami bawakan setiap minggu.

“Kami tidak berkecil hati kerana setiap komen yang diberikan berkait dengan persembahan. Selagi tidak bercanggah, kami tidak ada masalah,” kata Bocey ketika ditemui Astro Gempak.

Bagaimanapun Bocey tidak menafikan menerima tekanan lebih hebat di pentas MLM 2016 berbanding dua edisi sebelum ini.

Menurut Bocey tekanan dihadapi apabila memikirkan tentang peminat yang sentiasa mengharapkan persembahan terbaik daripada mereka.

“Sebenarnya MLM 2016 beri kami tekanan yang lebih tinggi berbanding 2013 dan 2014 kerana expectation penonton terhadap persembahan kami. Mereka mahukan kelainan dan sesuatu yang baru memandangkan pengalaman yang Bocey miliki sebelum ini.

“Kadang-kadang kami bertiga sendiri sukar untuk buat keputusan dan memilih idea dan jalan cerita yang sesuai untuk di bawa ke atas pentas,” ujar Bocey.

Mengulas mengenai Bocey sebagai kumpulan favourite di MLM 2016, Fad, Achey dan Abam memberitahu, mereka tidak akan ‘terbuai’ dengan gelaran tersebut.

“Di atas kertas mungkin penonton anggap Bocey antara pilihan utama di MLM 2016 kerana tiada saingan hebat daripada pelawak yang lebih hebat dan senior, tetapi sebenarnya kami lalui tekanan yang tinggi dan tiada istilah selesa.

“Bagi kami persembahan pendatang baru di MLM 2016 sangat baik walaupun mereka dianggap peserta underdog. Macam apa yang berlaku pada Bocey pada tahun 2013, orang tak jangka kami mampu jejakkan kaki sampai ke pentas akhir,” jelas Bocey.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari http://www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.

Teks Oleh: Khalid Rahman