Seramai 8,000 orang membanjiri Konsert Teman, Sahabat dan Cintaku yang diadakan oleh kumpulan terkenal Indonesia, Sheila On 7.

Konsert yang diadakan bersempena ulang tahun ke-20 penubuhan dan penglibatan mereka dalam industri muzik berlangsung dengan meriah di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur.

Dimulakan pada jam 8.30 malam, tirai konsert dibuka dengan persembahan oleh Noh Salleh dan Restoe Ibu Band.

Mereka membawakan lagu-lagu popular seperti Musim Ujan, Aku Skandal, Biar Seribu, Gelung, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.

Penyanyi kelahiran Malaysia yang sedang mencipta nama di Indonesia, Nadira Adnan juga sempat menyampaikan single terbarunya, Isi Hati dan berduet bersama Noh menerusi lagu Sang Penikam.

Selesai sahaja persembahan mereka, tiba giliran Sheila On 7 untuk menghangatkan konsert. Kemunculan Duta, Eross, Adam dan Brian di atas pentas membuatkan penonton yang hadir seakan histeria.

Membuka pentas dengan lagu Pria Terhebat, penonton turut sama-sama menyanyi bersama mereka. Selain itu, mereka juga menyanyikan seleksi lagu terbaik mereka iaitu Jap, Sahabat Sejati, Hari Bersamanya, Pemuja Rahsia, Yang Terlewatkan, Bila Kau Tak Disampingku, Tanyaku, Kita, Tunjuk Satu Bintang.

Selain itu, mereka turut mendendangkan lagu Percayakan Padaku, Seberapa Pantas, Sephia, Betapa, Hujan Turun, Kau Kini Ada, Pria Kesepian, Pede, Dan, Lapang Dada, Melompat Lebih Tinggi dan Sebuah Kisah Klasik.

Walaubagaimanapun, ada juga terdengar beberapa penonton yang kecewa kerana Sheila On 7 tidak memainkan lagu-lagu popular mereka seperti Berhenti Berharap, Buat Aku Tersenyum dan Anugerah Terindah Yang Pernah Kumiliki.

Kesimpulannya, konsert sempena 20 tahun penglibatan Sheila On 7 dalam dunia hiburan berlangsung dengan sukses dan ia nyata mengimbau memori penonton yang hadir.

Membesar dengan dendangan seleksi lagu terbaik Sheila On 7, penonton ternyata puas hati dengan konsert tersebut dan berharap mereka akan terus memberikan karya yang terbaik di masa akan datang.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Kredit foto: Instagram @kotakchenta, @joey_rahim dan @hqshm