Pengacara Nabil Mahir, 31, mendedahkan dirinya sudah membeli cincin emas putih untuk melamar bekas kekasihnya, pelakon Sarah Hildebrand.

Menurut Nabil, dia merancang untuk memberikan cincin tersebut sebagai kejutan kepada Sarah.

"Sejujurnya, saya sudah mempunyai perancangan untuk melamar Sarah dan dia tidak tahu mengenai perkara terbabit. Saya sudah membeli cincin tanda pada 9 November tahun lalu di Singapura.

"Saya sudah mempunyai perancangan untuk membuat kejutan dan melamarnya sempena ulang tahun hubungan kami yang memasuki tahun kelima pada 20 April ini," kata Nabil.

Menyedari rasa cinta yang ada antara mereka tidak sama seperti dulu, Nabil mula merasakan hubungannya dan Sarah tidak boleh diperbaiki lagi.

"Walau saya sudah merancang pelbagai perkara, takdir Allah menentukan segalanya. Jodoh kami tak panjang dan awal Februari lalu, hubungan kami berakhir. Hubungan kami menemui jalan buntu dan tidak boleh diselamatkan.

"Sejujurnya, saya enggan memikirkan lagi mengenai hubungan lalu dan saya sudah 'move on'. Saya reda dengan apa yang berlaku dan mendoakan agar Sarah berbahagia," katanya lagi.



Nabil ditemui di sidang media Asia GT Festival dan Celebrity Bazaar yang diadakan di Palace The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor sebentar tadi.

Nabil bakal menjadi pengacara majlis terbabit selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mac ini di Litar Antarabangsa Sepang.



"Saya bersahabat baik dengan penganjur dan mengambil tawaran ini kerana saya juga meminati bidang permotoran.

"Saya tak sabar mahu memeriahkan acara ini dan berharap ia akan mendapat sambutan yang memberangsangkan," katanya lagi.