Istora Senayan, Jakarta, Indonesia... Rintik hujan tidak memadam api semangat Sitizoner yang berhimpun seawal jam 5 petang di perkarangan stadium.

Bagi pencinta penyanyi terbaik Asia ini, apalah sangat kalau nak dibandingkan hujan untuk berjumpa puspita hati mereka.

Menyanyi bersama, menangis bersama. Itu antara momen-momen nostalgik sebermulanya Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour pada 21 Februari lalu.

Malam terus larut bersama debaran dan keterujaan... Perlahan-lahan perut Istora Senayan dibanjiri peminat Siti.

Gempak berpeluang menjadi sebahagian daripada sejarah besar karier seni anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang untuk siri pertama konsert jelajahnya tahun ini.

Jadi, apalah salahnya jika kami kongsikan momen-momen terindah sepanjang Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia.

1. Opening Tradisional

Jarang sekali Siti menampilkan lagu-lagu irama tradisional sebagai pembuka untuk konsert berskala besar (melainkan Konsert Lentera Timur 2013) sebegini.

Justeru, ini menjadi persembahan ikonik Siti dengan persembahan wayang kulit di layar gergasi pentas sebelum memulakan bicara dengan lagu Badarsila.



Joget Kasih Tak Sudah, Joget Berhibur, Hati Kama, Nirmala dan pastinya Cindai menjadi untaian wajib Siti.

2. Siti Nurhaliza Indonesia

Uniknya ketika konsert di Jakarta tempoh hari, Siti turut menerima tetamu bernama Siti Nurhaliza.

Nama yang diberikan oleh seorang peminat setia buat anaknya yang kini sudah menjengah usia dewasa cukup memaknai nama Siti Nurhaliza di negara republik itu.

Betapa istimewanya Siti apabila namanya juga menjadi inspirasi dan idola rakyat sana.

3. Tulus

Tulus turut hadir mendendangkan lagu duet petikan album Prasasti Seni 2004, Seindah Biasa.

Bersahaja namun berkesan!

Tulus juga sempat menyanyikan lagu popularnya Sewindu dan Jangan Cintai Aku Apa Adanya.

Difahamkan juga, Tulus baru selesai mengadakan konsert di lokasi sama beberapa hari sebelum ketibaan Siti. Full house juga khabarnya!



4. Birthday Datuk K

Kata Siti, dia hampir menitiskan air mata ketika melihat anaknya, Siti Aafiyah pertama kali dari pentas konsert.

Malah, kesempatan itu juga digunakan Siti untuk menghadiahkan lagu Happy Birthday buat suami tercinta, Datuk Seri Khalid Jiwa. Sweetnya!

5. Aksi Akrobatik

Aksi akrobatik wanita berpusing-pusing dalam gelung di tengah-tengah arena mengundang debaran ketika Siti asyik melantunkan lagu Purnama Merindu.

6. Lagu Dodoi Anak

Siapa mampu menyanyikan lagu dodoi anak untuk sebuah konsert berskala besar? Hanya Siti!

Saat muzik Comel Pipi Merah dimainkan bersama visual Siti dan anakanda tercinta, Siti Aafiyah dimainkan di layar gergasi, sepertinya berderau darah.

Meremang kerana korban dan sabar Siti 11 tahun!

Oh! Siti turut mengalunkan gurindam pada segmen itu...

7. Pentas mega, LED cantik!

Rekaan pentas umpama tiga dimensi dengan berbucu melunjur ke tengah hadapan penonton harus dipuji!

Shiraz Projects ternyata berjaya menandingi konsert-konsert Siti terdahulu.

Daripada pemilihan set, sistem bunyi hingga permainan grafik LED di sekeliling pentas, semuanya dititikberatkan.

8. Chorus Transkripsi

Album yang menurut Siti dihasilkan separuh-separuh Malaysia-Indonesia itu diolah menjadi versi nyanyian paling unik.

Hanya korus berserta isi cerita sepanjang pembikinan album Transkripsi (2006).

Bila Harus Memilih dan Cuba Untuk Mengerti antara lagu yang terpilih dalam segmen istimewa itu.

9. 29 Buah Lagu

Diam tak diam, sepanjang konsert yang berlangsung lebih 2 jam itu Siti telah menghiburkan seisi arena dengan 29 buah lagu popular sepanjang zaman.

Demi Kasih Sayang turut menjadi hadiah Siti pada konsert kali ini. Unexpected!

Selain itu, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Bukan Cinta Biasa, Anta Permana, Jaga Dia Untukku, Lebih Indah dan Bersandar Cinta turut menemani sepanjang konsert itu.

Indah Percintaan dan Siti Situ Sana Sini pula menjadi lagu penyegar dan diiringi aksi lincah Siti menari di pentas!

Konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour meneruskan pelayaran ke Singapore Expo, Singapura pada 2 Mac dan pulang ke Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 16 Mac nanti.

#latepost ... 4 hari lagi ye... Jumpa di Singapore???.. Cepat2 beli tiket selagi masih ada ye..

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) on


Jumpa nanti di sana!