Buat kali kedua Ola Bola The Musical dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur selepas tahun lalu mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.

Orang ramai yang hadir ke Istana Budaya menyaksikan Ola Bola The Musical akan merasa seperti berada di dalam Stadium Merdeka menyaksikan pertembungan epik secara langsung skuad bola sepak kebangsaan menentang Korea Selatan.

Ternyata pementasan Ola Bola The Musical kali ini lebih berbaloi untuk ditonton kerana para pelakon berjaya membawa watak yang diberikan dengan baik sehingga membawa penonton hanyut dalam emosi sepanjang pementasan.

Jadi, apa salahnya kami kongsikan lima sebab kenapa orang ramai harus menonton Ola Bola The Musical.

1) Pementasan Ola Bola The Musical pada tahun ini dilihat lebih padat dengan kehadiran para pelakon baru seperti Nabila Huda, Tony Eusoff & Hafeez Mikhail untuk menghiburkan penonton yang datang.

2) Jalan penceritaan yang dibawakan oleh para pelakon dilihat bersahaja sehingga penonton dapat merasai apa yang hendak disampaikan.

3) Teknologi pementasan digital baharu yang digunakan seperti latar belakang visual skrin besar LED, penayangan 180 darjah, visual animasi, pencahayaan canggih dan bunyi sekeliling 360 darjah turut menaikkan suasana di Panggung Sari.


4) Kehadiran pelakon Iedil Putra, membawa watak Rahman iaitu seorang pengulas sukan yang bersemangat sentiasa memberi kesan di hati penonton setiap kali kemunculannya.

5) Tidak sangka Istana Budaya bertukar menjadi Stadium Merdeka dan paling mengujakan ialah apabila para pemain bola sepak negara menaiki helikopter.

Syabas diucapkan pada semua pelakon kerana berjaya membawa watak masing-masing dengan baik sehingga mampu memberi kesan dan pengalaman yang beharga pada penonton.

Jadi untuk merasai pengalaman seperti berada di sebuah stadium, anda boleh datang untuk menyaksikan teater Ola Bola The Musical di Panggung Sari, Istana Budaya.

Ola Bola The Musical akan dipanggungkan sehingga 3 Mac ini dan tiket boleh didapati menerusi laman web Buyticket.Asia.