Penyanyi Misha Omar akui lega apabila individu yang menabur fitnah dan menuduh dirinya menggunakan 'mak esah' atau ilmu sihir untuk memenangi Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) menerusi lagu Sampai Bila telah tampil memohon maaf secara terbuka.

Menurut Misha, dia menganggap kes tersebut telah selesai selepas dua individu tampil memohon maaf namun akan mengambil tindakan selanjutnya kepada seorang lagi penguna Twitter.

“Saya berasa lega apabila dua individu terbabit berani tampil untuk mengaku kesilapan mereka selepas tempoh tujuh hari yang diberikan oleh saya.

"Ini merupakan pengalaman baru saya sebagai anak seni dan berterima kasih kepada kedua peguam yang membuat kerja mereka dengan baik skali.

“Namun ada seorang lagi pemilik akaun belum membuat permohonan maaf namun difahamkan pemilik akaun tersebut telah memadam akaunnya.

“Pada malam ini saya akan ke balai polis untuk menarik balik report yang dilakukan sebelum ini dan akan membuat satu report polis khas untuk pengguna akaun Twitter berkenaan.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan berharap agar netizen dapat berfikir dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan di media sosial," katanya kepada Gempak.

Misha ditemui di sidang media tergempar di KL Eco City Mall, Pantai Dalam, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Turut hadir bersama Misha ialah wakil peguam Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim dari Amelda Fuad Abi & Aidil.

Dua individu yang tampil memohon maaf adalah Ahmad Azhar Azizi dan Fairuz Azwan turut tampil pada sidang media ini.

Sebelum ini, Misha membuat laporan polis terhadap sesetengah individu yang menaburkan fitnah dan menuduh dirinya menggunakan 'mak esah' atau ilmu sihir untuk memenangi Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) menerusi lagu Sampai Bila.

Misha memberi tempoh tujuh hari kepada beberapa individu yang menyebarkan fitnah kepadanya untuk memohon maaf tanpa syarat.

Lagu Sampai Bila ciptaan Sharon Paul, Ahmad Fedtri Yanya dan Shah Shamshiri meraih tempat ketiga di AJL 33 manakala Misha turut menggondol trofi Vokal Terbaik di pertandingan tersebut.