Peserta Mikrofon Impian, Ahmad Syamim Abdul Halim bersyukur apabila menerima tajaan daripada pihak Chatime Malaysia untuk membiayai yuran sekolah anaknya yang merupakan seorang anak autism.

Menurut Syamim, dia reda walaupun tidak bergelar juara pada minggu pertama dalam program realiti nyanyian baharu berjudul Mikrofon Impian.

"Syukur, Alhamdulillah terima kasih kepada pihak Chatime Malaysia sebab sudi menaja yuran sekolah anak saya.

"Saya buat ini semua bukan untuk diri sendiri tapi ini semua untuk anak saya yang menghidap autism dan ingin membantu keluarga," katanya.


Sementara itu, usahawan berjaya yang memegang portfolio sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali mengakui terkesan dengan kisah dihadapi oleh Syamim.

"Kisah syamim memang menusuk hati kami, kisah yang awak kongsikan membuatkan semua orang terkesan.

"Kami daripada pihak Chatime Malaysia telah membuat keputusan untuk membiayai yuran sekolah anak Syamim," katanya.

Episod pertama program Mikrofon Impian menyaksikan Nur Emina Farhana memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000 untuk menyelesaikan masalah hutangnya.

Orang ramai boleh turut membantu dengan menyumbang secara ikhlas kepada peserta yang memerlukan sekiranya mereka gagal memenangi sebarang wang kemenangan menerusi platform MaybankHeart.

Sehingga kini menerusi kutipan platform MaybankHeart, Syamim telah mendapat sebanyak RM3,795 hasil sumbangan daripada orang ramai.

Program Mikrofon Impian diterajui Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali Pak Nil sebagai hos dan menampilkan tiga juri tetap iaitu Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali yang akan mengadili para peserta.

Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod dan mereka diminta menjelaskan situasi kewangan sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri.

Setiap minggu para peserta juga akan diadili oleh juri undangan khas seperti Zamani, Elyana, Mark Adam, Elizabeth Tan, Tomok, Hazami, Salih Yaacob, Mawi dan Siti Nordiana.

Mikrofon Impian dibawakan oleh Chatime Malaysia bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).