Kemunculan penyanyi-penyanyi baharu hasil daripada rancangan realiti TV dan juga penyanyi-penyanyi yang muncul melalui aplikasi-aplikasi seperti YouTube, Smule, Instagram dan beberapa lagi semakin hari semakin ramai hadir di persada seni.

Kehadiran mereka bukanlah sesuatu perkara yang baru dan tidak juga menimbulkan lambakan penyanyi tanah air. Cuma yang membezakan adalah sama ada mereka berjaya meneruskan karier mereka atau sekadar tempelan sementara.



Penguasaan mereka dalam industri lebih ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apatah lagi ramai daripada mereka bukan sekadar menyanyi, tetapi turut mencipta lagu mereka sendiri. Kelebihan yang ada ini mungkin sedikit berbeza dengan penyanyi lama yang kebanyakannya masih bergantung kepada pencipta lagu dan penulis lirik.

Yang menjadi ukuran sekarang adalah raihan populariti yang diterima. Untuk artis kelahiran program realiti, populariti yang diraih lebih pantas berbanding dengan artis kelahiran aplikasi kerana mereka mendapat populariti segera hasil kemunculan di kaca TV.



Mereka juga didedahkan lebih awal untuk membuat persembahan pentas berbanding artis kelahiran aplikasi yang mungkin lebih terkenal di media sosial, tetapi tidak mempunyai asas persembahan pentas yang kuat.

Walaupun begitu, pantas meraih populariti tidak menjamin mereka akan bertahan lama di dalam industri tanpa kerja keras. Bagi penyanyi-penyanyi kelahiran aplikasi pula, walau mungkin memerlukan satu tempoh yang lama untuk memperkenalkan diri kepada umum, namun mengumpul peminat secara perlahan-lahan membuatkan populariti mereka lebih lama bertahan.



Kalau dulu, artis realiti digelar artis ‘mee segera’ tetapi ramai telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mampu meraih anugerah populariti tetapi juga membolot banyak anugerah terbaik. Begitu juga dengan artis aplikasi yang mula menunjukkan bahawa mereka juga mampu berada di dalam kelompok yang sama.

Menurut penyanyi kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia, Hael Husaini, tidak kira artis yang lahir daripada rancangan realiti ataupun aplikasi, apa yang penting adalah kualiti.

“Pada masa yang sama kita juga harus juga percaya kepada nasib kerana jika kita tidak percaya pada nasib, kita akan mengalah. Setiap kali kita bekerja keras untuk melaksanakan sesuatu, tetapi nasib tidak menyebelahi kita, kita jangan terus menyerah kalah.



“Kena ada matlamat yang dituju. Tidak bermakna kita buat suatu perkara itu kita akan terus berjaya. Macam saya, ambil masa 12 tahun untuk capai ke tahap sekarang, dan ada ketikanya saya hampir menyerah, tetapi saya cekalkan hati kerana saya percaya kepada nasib,” jelas Hael.

Penyanyi popular yang lahir daripada Aplikasi Smule, Khai Bahar pula berkata artis dari program reality kemunculannya bermula di televisyen. Ianya membuatkan artis itu dikenali sejak mula menceburi bidang seni.

“TV masih menjadi medium penting dalam penyampaian maklumat atau sesuatu program. Malah, dalam program realiti, artis tersebut juga secara langsung mendapat latihan dari tenaga pengajar professional.



“Dari segi ilmu, mereka mempunyai kelebihan dan ilmu adalah komponen penting untuk seseorang itu berjaya dalam bidang yang diceburi,” kata Khai Bahar.

Tambah Khai lagi, mereka yang lahir dari program realiti juga mempunyai kelebihan diberi tunjuk ajar bagaiaman untuk menempatkan diri dalam industri seni. Terpulang kepada artis tersebut untuk berusaha menjadikan mereka lebih berjaya.



“Bagi artis yang lahir dari Aplikasi seperti saya, proses pembelajaran dan menuntu ilmu dari tenaga professional memang tiada kecuali perlu mencari sendiri.

Artis dari medium ini perlu menggunakan idea sendiri untuk menarik perhatian peminat menonton video mereka berulang kali. Dengan cara ini ianya dapat menarik minat dan membuatkan artis itu popular,” jelas Khai.

Kata Khai, artis aplikasi perlu menuntut ilmu dengan sebaiknya supaya bakat dapat digilap lagi dan terus bertahan menjadi artis yang berkualiti dalam industi seni tanah air.



“Kesimpulannya, baik artis yang lahir dari program realiti ataupun aplikasi, masing-masing perlu berusaha menempatkan diri mereka di tempat yang terbaik setelah memasuki industri demi kelangsungan kerjaya,” ulas Khai.

Nantikan bahagian kedua esok, apabila guru vokal terkenal, Shafizawati Sharif atau Cikgu Shafi mengulas lebih lanjut tentang kehadiran dan perbezaan artis kelahiran rancangan realiti dan artis yang lahir dari aplikasi.