Adik kepada pelakon Syatilla Melvin, Syifa Melvin menafikan dakwaan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan aktor, Fendy Bakry seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini.

Menurut Syifa, dia perlu menjelaskan perkara itu kerana tidak mahu disalah anggap oleh peminat pelakon Mr Grey itu.

“Saya tak dilamun cinta pun seperti apa yang ditulis. Saya berkawan biasa saja. Kami hanya bertegur sapa di Instagram saja.

“Tidak tahu macam mana boleh timbul isu saya mesej sambil senyum. Itu semua bohong.

“Kalau berjumpa pun di acara dan atas urusan kerja saja. Saya berasakan penjelasan ini perlu sebab tidak mahu peminat dia marah dan pasarannya terjejas,” katanya.

Menurut Syifa, dia sedia maklum Fendy sudah mempunyai kekasih.

“Saya pernah baca dalam laporan media dia sudah ada kekasih. Saya doakan dia bahagia dan wanita itu menerimanya seadanya,” katanya.

Shifa juga turut menafikan bahawa dia kini sedang bercinta dengan lelaki lain.

“Saya masih solo dan belum fikir soal cinta atau jodoh. Kalau boleh, saya nak memberi fokus kepada kerjaya lakonan dulu,” katanya.

Sumber: Harian Metro