Pelakon Mas Khan tidak akan bergandingan dengan teman wanitanya, pendatang baru Fazreen Fazera dalam satu naskah.

Bertemu dengan Mas di malam gala tayangan filem Misteri Dilaila pada minggu lalu, jejaka kacak ini memberikan sokongan penuh terhadap teman wanitanya untuk menceburkan diri dalam bidang hiburan.

"Fazreen baru sahaja berjinak dalam bidang hiburan dan saya memberikan galakan penuh.

"Sejujurnya, jika ada tawaran yang datang mahu kami bergandingan dalam satu naskah, saya rasa saya akan menolaknya.

"Saya tak akan berlakon dengan Fazreen dalam satu naskah. Saya melakukan kerja saya manakala dia juga melakukan kerjanya sendiri.

"Sebagai contoh, malam ini juga dia tidak hadir mengikut saya. Saya datang sendiri. Tetapi, kami akan memberi sokongan terhadap satu sama lain," katanya.

BACA: "Semua Orang Buat Salah" - Ini Pesan Mas Khan Kepada Fazreen Fazera...

Mengulas mengenai Misteri Dilaila, ini merupakan kali kedua Mas berlakon di bawah arahan pengarah Syafiq Yusof.

"Sebelum ini, saya membintangi Abang Long Fadil 2. Saya senang bekerja dengan Syafiq kerana saya sudah mengenalinya semenjak kecil. Dia kawan saya sewaktu membesar.


"Syafiq seorang yang profesional dan sangat 'details'. Warna dan cara pemakaian baju pun sangat penting di mata Syafiq.

"Saya bertuah dapat bekerja dengan Syafiq dan berharap filem ini akan mendapat sambutan," katanya lagi.

Bergandingan dengan ramai pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Namron dan ramai lagi, Misteri Dilaila mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 21 Februari 2019!