Penyanyi popular, Siti Sarah Raissuddin menafikan khabar yang mendakwa kekalahannya di Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) pada 3 Februari lalu disebabkan oleh ilmu hitam.

Membawakan lagu Semakin ciptaan suaminya, Mera Utama (Shuib Sepahtu), Sarah menyifatkan dakwaan terbabit sebagai satu perkara yang tidak tepat.

"Dakwaan itu tidak tepat. Semuanya sudah berlaku dan itu adalah ketentuan Allah. Saya tak suka untuk percaya perkara-perkara terbabit.

"Saya sendiri akui, saya tewas disebabkan beberapa perancangan awal yang kurang menjadi seperti apa yang sudah rangka terlebih dahulu, terutamanya dari segi nyanyian dan vokal," kata Sarah.

Sarah ditemui di The Intimate Session with Siti Sarah yang diadakan di Petaling Jaya pada Selasa.

BACA: Isu Kes Fitnah, Siti Sarah Berhasrat Mahu Bertemu Misha Omar

Tambah Sarah, persembahan nyanyiannya lebih baik sewaktu sesi raptai.

"Saya sendiri tak sangka ramai yang kecewa. Saya sudah buat yang terbaik, apa yang saya mampu tetapi Allah tak mengizinkan apa yang saya rancangkan berlaku di malam AJL 33.

"Ketika sesi latihan, nyanyian saya lebih baik berbanding pada malam kemuncak AJL 33. Itu sahaja yang Allah izinkan untuk terjadi pada malam itu dan saya menafikan adanya unsur ilmu hitam. Ilmu putih tu, adalah...," kata Sarah sempat berseloroh.