Penyanyi Siti Sarah merancang untuk bertemu dengan penyanyi Misha Omar bagi memperkatakan mengenai kes fitnah yang berlaku baru-baru ini.

Kes fitnah itu melibatkan beberapa individu, termasuklah ahli kelab peminat Sarah yang mendakwa Misha menggunakan 'mak esah' atau ilmu sihir untuk memenangi Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) menerusi lagu Sampai Bila.

"Saya berhasrat untuk bertemu empat mata dengan Misha bagi membincangkan mengenai perkara ini.

"Selepas tamatnya AJL 33, saya memang tak tahu apa-apa mengenai isu terbabit. Saya tahu mengenai perkara ini menerusi pengurus saya, sehari sebelum Misha mengadakan sidang media.

"Saya rasa saya juga kena berjumpa dengan ahli kelab peminat saya yang terlibat dengan isu ini. Pengurus saya akan uruskan pertemuan terbabit," kata Sarah.

Bakal bergandingan dengan Misha dan Noryn Aziz dalam konsert Soul Sisters yang akan diadakan pada April, pelantun lagu Semakin ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja dengan Misha.

"Sejujurnya, saya tak mempunyai sebarang masalah dengan Misha. Ini bukan isu saya dengan Misha, ini antara peminat dengan peminat.

"Sebagai penyanyi yang agak senior dalam industri, saya tak terbawa dengan perkara ini. Cuma, apabila saya tahu mengenai perkara ini, saya rasa sedih kepada si pelaku.

"Mungkin mereka terlalu obses sehingga terbawa kekecewaan terbabit apabila saya tak mendapat sebarang tempat di AJL 33... Apa punca sebenarnya, saya sendiri pun tak tahu. Wallahualam," katanya.

Tambah Sarah, dia sangat menghargai sokongan peminat yang tanpa henti memberikan semangat kepadanya.

"Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada peminat atas sokongan selama ini. Saya sayangkan mereka tetapi semua perkara ada batasnya. Mereka juga harus menghormati artis lain.

"Apabila peminat saya memohon maaf dan Misha juga mahu memaafkan, saya sifatkan tindakan mereka sebagai sesuatu yang sangat mulia.

"Bukan mudah untuk merendahkan ego meminta maaf dan bukan mudah untuk seseorang itu memaafkan. Sifat yang mereka tunjukkan sangat mulia dan biarlah semuanya menjadi pengajaran yang berguna," katanya lagi.

Sebelum ini, Misha membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara dan Balai Polis Salak Selatan atas tuduhan fitnah terbabit.

Misha memberi tempoh tujuh hari kepada beberapa individu yang menyebarkan fitnah kepadanya untuk memohon maaf tanpa syarat