Pelakon Zul Ariffin mendoakan kebahagiaan bekas kekasihnya, Zahirah Macwilson dan teman lelaki baharunya, pelakon Aiman Hakim Ridza.

Kata Zul, dia sedar akan perkembangan positif hubungan cinta pasangan pelakon itu dan berharap mereka menikmati momen-momen manis bersama.

"Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Baguslah, mereka pun masih muda dan banyak perkara yang boleh dilakukan bersama-sama.

"Nikmati hidup kalian sebaik-baiknya," katanya kepada Gempak.

Zul yang ditemui pada majlis pratonton filem Misteri Dilaila berharap bekas kekasihnya tidak bercakap perkara yang boleh menjejaskan nama baiknya di hadapan teman lelaki baharunya.

"Apabila sesuatu hubungan telah berlalu, saya tidak mahu bercakap buruk mengenai masa silam saya.

"Jadi, saya harapkan dia juga begitu," tambahnya.

Zul dan Zahirah mula berkenalan pada 2015 namun akhirnya putus sekitar Mac 2018.

Setelah berakhir cinta mereka berdua, Zahirah mula menjalinkan hubungan dengan Aiman Hakim sekitar Disember 2018 hingga kini.

Sementara itu, Zul akui teruja menantikan maklum balas penonton untuk naskhah filem Misteri Dilaila yang akan ditayangkan pada Khamis ini.

"Selepas 10 tahun barulah saya dapat pegang watak utama dalam naskhah terbitan Skop Production. Semestinya saya teruja!" katanya.

Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.

Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang.

Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.

Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya.

Jangan lupa saksikan filem hebat ini yang mendapat sentuhan sutradara terkenal, Syafiq Yusof di pawagam seluruh negara bermula 21 Februari 2019!