Penyanyi Misha Omar kesal dengan dakwaan fitnah beberapa individu yang mengaitkan kemenangannya di Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) adalah kerana bantuan 'mak esah' atau ilmu sihir.

"Pada mulanya saya hanya membaca tuduhan tersebut di laman Twitter dan saya tidak mengendahkannya. Namun begitu, selepas itu saya muncul di beberapa acara dan bertemu dengan rakan-rakan artis.

"Ada beberapa artis muda datang bertemu saya dan bercakap mengenai perkara terbabit dalam nada gurauan. Perkara ini sudah mula diperkatakan dan saya rasa perkara itu sampai kepada rakan-rakan artis dan peminat lain," kata Misha.

Misha ditemui di sidang media tergempar di KL Eco City Mall, Pantai Dalam, Kuala Lumpur sebentar tadi.

BACA: Didakwa Guna 'Mak Esah' Untuk Menang AJL 33, Misha Omar Ambil Tindakan

Lagu nyanyian Misha, Sampai Bila ciptaan Sharon Paul, Ahmad Fedtri Yanya dan Shah Shamshiri meraih tempat ketiga di AJL 33 manakala Misha turut menggondol trofi Vokal Terbaik di pertandingan tersebut.

Turut hadir bersama Misha ialah wakil peguam Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim dari Amelda Fuad Abi & Aidil.


Misha juga mengakui dia kecil hati dan terguris dengan perkara yang terjadi.

"Untuk mendapatkan sesuatu, saya banyak kerja keras. Dedikasi yang saya berikan sepanjang mempromosikan lagu Sampai Bila sangat tinggi sehinggalah ia layak ke AJL 33. Ramai yang tidak tahu apa susah payah saya.

"Saya kecil hati dan terguris. Susah payah saya mempromosikan lagu, seterusnya berlatih untuk pertandingan tersebut.... tetapi 'mak esah' pula yang dapat nama. Saya rasa sedikit geram kerana nilai moral itu diusik.

"Saya tak kenal siapa dia, dia juga tak kenal siapa saya. Jika ada masalah, semua orang tahu bagaimana mahu berhubung dengan saya. Semua orang tahu siapa pengurus saya, semua orang tahu label rakaman saya... tetapi, kenapa perlu dilakukan perkara sebegini?" kata Misha lagi.